Thursday, April 30, 2009

Masam manis=)

Teringin sekali kali ini untuk berkongsi tentang kehidupan berumahtangga. Ops, jangan ada salah faham sama skali. Belum sampai serunya lagi=) Ini hanyalah titipan yang lahir daripada pemerhatian insan yang sama sekali KOSONG dalam erti kata pengalamannya...Tiap kali berada di sisi akak, melihat bait-bait perbualannya dengan suami tersayang, saya banyak berfikir.

'Patutlah ALLAH jadikan lelaki tu, pasangannya perempuan.'

Kalau 'bukak kedai kopi' dengan Akak dan Abg Mat, saya asyik gelak memanjang tengok gelagat mereka. Tiap hari (atau dengan lebih tepatnya SETIAP KALI) mereka berborak, mesti ada 'perdebatan tidak formal' yang terjadi. Dan saya hanya menjadi penonton yang sesekali diajak Abg Mat untuk menjadi penyokongnya... Huuuu.. Kalahkan kakak sendiri pulak:P Jangan marah ye kak. Walau apa pun terjadi, Akak kalah teruk mana pun, adik tetap sayang Akak!!! Heee... (tapi akak jarang kalah kan? ;p)

Salah satu adegan. Marilah kita hayati bersama...

*****

"Abah, esok kalau Umi nak pergi Seksyen ** dengan adik kena lalu ikut jalan yg dekat kilang ** tu kan??" (Akak)

"Astaghfirullah. Umi tak ingat lagi jalan tu? Dah lebuk jalan tu abah lalu dengan umi." (Abg Mat)- sambil menggeleng kepala.

Lalu, saya pun menyampuk.

"Susah kak kalau tak ingat jalan nak bawak kereta. Patutlah akak tak boleh ambik lesen lagi."

"Tu lah dik. Kalau Abg Mat cakap, dia tarik muka. Jalan yang duk lalu hari-hari tu pun, dia tak boleh nak perasan." (Abg Mat)

"Ala... Nanti dah boleh bawak kereta, dia automatik dapat ingat sendiri. Kalau sesat pun, berhenti dan tanya je lah. Tak macam orang tu. Susah sangat nak berenti tanya. Rela habis minyak kereta cari sendiri kalau sesat." (Akak)-dengan muka tak puas hatinya... Huuuuu..

"Kita kena usaha cari sungguh-sungguh dulu. Cari dulu betul-betul." (Abg Mat)

"Kita ni kan hidup bermasyarakat. Ni lah masa untuk kita gunakan sebaiknya masyarakat tu. Apa nak susah. Berhenti dan tanya je lah. Orang laki memang macam tu." (Akak)-sudah mula mempamerkan 'senyum perli'nya.

"Tengok dik. Nak menang jugak tu. Susah cakap dengan MEM BESAR ni. Abg Mat ni macam ni lah. Tak pernah nye dia bagi can." (Abg Mat)-sambil mata mengerling isterinya yang tersayang..

"Heeee... Marah, bah??" Akak sudah mula tersengih memujuk.

"Uish.. Marah apanye. Kita kena usaha sungguh-sungguh. Selagi hayat dikandung badan, masanya tetap ada untuk menang." (Abg Mat)-dengan raut wajah 'tak heran' nya... Huuuu


******

LELAKI : Malu bertanya @ Ego?? Atau lebih selesa berusaha mencari jalan penyelesaian sendiri?

Hanya mereka yang bergelar lelaki mampu menjawabnya. =) Namun, sedikit pembacaan yang dikutip daripada Men are from Mars, Women are from Venuses, lelaki lebih selesa memilih GUA berbanding MANUSIA untuk mencari jalan penyelesaiannya. Sebaliknya berbeza dengan wanita yang akan mudah melahirkan emosi untuk dikongsi dengan manusia. Ohhh... Alangkah sempurna aturanNya, bukan?? Saling melengkapi dan bersedia untuk dilengkapi. Betapa bahagianya...^_^


Ops terlupa pula: (loghat kelate)
lebuk=seperti hancur (contoh yang paling jelas-rumput yang dipijak berulang kali)
*kalau tak faham lagi, silalah rujuk kamus-kamus (orang kelantan yang bukan celup..heeee) yang terdekat..


Tuesday, April 28, 2009

Kita dah tak boleh jumpa...

"Jom kita duduk kat bawah pokok tanjung tu."

Tangan saya dihalakan pada sebatang pokok yang rendang bersebelahan dengan bangunan yang menempatkan murid Pra Sekolah...


Lalu, 3 pasang kaki melangkah ke arah yang dicadangkan. Itulah 3 sekawan... Su, Yani dan saya. Ketika itu kami masih di Darjah 4 (kalau tak silap ingatan saya ni..huuu). Waktu rehat sudah bermula beberapa minit tadi. Murid-murid yang terlalu ramai menyebabkan kami mengambil keputusan untuk mencari bangku yang lain selain susunan tempat duduk di kantin itu. Yang sudah semestinya sangat sesak. Dan sangat hingar-bingar.

Sambil berjalan, Yani bersuara.

"Esok ayah saya balik. Seronok sangat. Dah dua bulan ayah saya tak balik."

Raut wajah Yani benar-benar menggambarkan apa yang terucap di bibirnya. Ayahnya bekerja di Singapura. Mencari rezeki buat menyara seisi keluarga. Biasanya ayahnya akan pulang sekali dalam masa sebulan. Namun, kali ini dia terpaksa menanggung rindu menunggu ayahnya pulang lebih lama daripada kebiasaan.

Saya hanya tersenyum melihatnya gembira. Saya akui saya dapat rasai kegembiraan itu.

"Kita dah tak boleh jumpa ayah kita. Ayah kita dah tak balik, kan Kini?"

Soalan Suraya itu benar-benar menyentuh hati saya yang telah sedia tersentuh sejak dari tadi. Saya serba salah. Kalau memberi respon pada kata-kata Su, Yani pasti terasa. Namun, jika dibiarkan tanpa apa-apa tindak balas, hati Su juga akan terluka. Akhirnya hanya senyuman terukir di bibir ini. Lantas, segera saya alih topik perbualan itu. Saya menunjukkan beg duit kecil yang dibeli oleh Ma semalam.

"Cantik..." Komen mereka berdua. Sambil bibir terus berceloteh, saya dapat lihat wajah mereka sudah tidak sekelat tadi.

Alhamdulillah=)


*******


Secebis memori yang masih utuh dalam ingatan saya. Menyedarkan saya tentang pengertian. Pengertian tentang hati dan perasaan. Saya sama sekali tidak dapat menyalahkan Yani atas perkongsian perasaan gembiranya. 'Berkongsi suka duka.' Itulah gunanya kawan kan? Walaupun umur kami belum mencecah belasan tahun, cerianya hidup banyak datangnya daripada kawan-kawan.

Namun, Su jugak tidak harus dituding jari atas keterlanjuran katanya. Su adalah seorang anak yang kehilangan bapanya seawal usia 4 tahun. Saya pernah bertanyakan Su,

"Awak ingat lagi tak muka ayah awak?"

Minda ini hanya menganggap yang usia 4 tahun dan 8 tahun itu tidak jauh untuk mengingati wajah insan yang membesarkan kami. Yelah, saya kehilangan ayah pada usia 8 tahun. Dan saya masih mengingati setiap inci memori bersama ayah, apatah lagi raut wajahnya. Jadi, begitulah telahan saya padanya. Dan saya cukup sedih mengingatkan jawapan Su.

"Tak ingat langsung. Saya tengok gambar je."

T_T Betapa pedih hati ini mendengarnya. Ya ALLAH... Engkau Maha PENYAYANG. Dia berikan saya peluang untuk mengecap nikmat kasih sayang yang saya mampu kenang hingga ke hari ini. Walau dia tiada di depan mata, dia sentiasa setia menemani hati saya. Menjadi semangat yang tak pernah luntur menghadapi mehnah dunia.

'Jangan lokek tenaga. Selagi ada, jangan sayang untuk memberi..'

Antara kata-katanya yang takkan saya padamkan dari kotak ingatan ini...


~Pesanan buat diri sendiri dan semua sahabat: Hargailah selayaknya.... Setiap insan dan perkara yang ada di sekeliling kita.. Sebelum kita tidak lagi punyai masa, untuk menyatakan betapa berertinya ia dalam hidup kita... (al-Fatihah buat arwah ayah, Salleh bin Awang)

Saturday, April 25, 2009

Betapa sukarnya untuk melupakan

Kata orang, buat apa dilupakan kenangan yang manis? Dah namanya pun MANIS. Mestilah sedap kan? Namun, jangan sesekali kita lupa, terlajak manis yang kita agungkan, DIABETES la jawabnya... Heeee.. Ni bukan kata-kata daripada seorang bakal dietician, tapi luhur daripada seorang insan yang hidupnya mengumpul segala kenangan yang sempat dirakam di ruang ingatan. Manis itu penghias jiwa, tapi pahit itu juga pelengkap rasa. Cuba kita ingat balik, apa yang diajar kepada kita waktu sekolah rendah dahulu.

"Lidah ni ada deria rasa yang berbeza. Walaupun awak semua tengok lidah ni kecik je, tapi macam-macam rasa yang awak boleh kecapi."

Kata-kata cikgu yang didengar dengan penuh khusyuk oleh para pelajar.

Menghadiri HEALS Appreciation Night 2009 usai menghabiskan Final Exam, saya amat terkesan dengan persembahan akak-akak dan abang-abang Final Year. Lakonan yang bertemakan persahabatan dan lagu yang amat sinonim dengan hidup insan yang amat saya sayangi... Akak..

Casey
Seribu Impian

Disenjakala begini

Teringat kembali
Teman-teman lama dahulu

Yang pernah sama mengharungi

Pahit dan manis dirasa
Sehati sejiwa
Tak mungkin ku lupakan segala

Saat suka dan duka

Susah dan senang kita bersama
Rentasi rintangan yang ada
Tiada sempadan yang memisahkan
Kasih sesama kita walau badai tiba

c/o:
Seribu impian pernah pun kita bina

Demi masa depan...

Tenggelam jauh dalam khayalan
Di buai alam mimpi

Kenangan lalu menjelma
Teringat kembali

Di ketika bergurau senda

Mesranya kita bersama


Seribu impian indah menghias jiwa
Bagaikan permata...
Setinggi langit biru, mimpi kita

Abadi selamanya...

Sangat bersemangat... 1 batch naik atas pentas

Lagu ini lah yang menjadi teman setia bibir akak setelah kami berpindah ke Kelantan. Akak terlalu merindui kenangan zaman persekolahannya dengan kawan-kawan lama di sana. Yelah, kalau nak dibandingkan dengan saya yang baru Darjah Dua, akak sempat mengumpul lebih 7 tahun pengalaman bersama-sama teman di sana. Inilah yang saya katakan, dalam manis, terselit pahitnya. Walau kenangan bersama-sama kawan-kawan itu manis, namun perpisahan itu amat pahit untuk dikenang. Saya masih ingat macam mana akak akan menangis tiap kali surat yang sampai dari sahabat karibnya ditatap.

Dan kini.... Saya dapat kecapi secebis rasa yang pernah akak alami... Berpisah dengan kawan-kawan setelah habisnya SPM, membawa haluan masing-masing, sekurang-kurangnya saya masih boleh berhubung dengan mereka. Pabila melihat para senior beramai-ramai menyanyikan lagu ini di atas pentas, hati saya sudah mula sayu mambayangkan apa yang akan saya alami 2 tahun lagi (insyaAllah jika dipanjangkan umur)... Tak dapat saya bayangkan macam mana sebaknya hati untuk berpisah dengan insan-insan yang bersama-sama mendaki tangga di bumi UIA yang penuh pelajaran dan pegajaran ini. Cha, Sanah, Wa.... Akak-akak rumates saya, semua classmates yang bersusah payah bersama-sama melengkapkan tiap tugasan, mass lecture yang penuh dengan pelbagai ragam....Ohh.. Saya tak mampu padamkan semua itu dalam kotak minda ini....

Hanya satu nasihat saya buat semua sahabat yang dikasihi. Kumpullah sebanyak mana kenangan yang mampu diukir sementara masih diberi peluang olehNya ini. Jangan cemari kenangan itu dengan tumpahan warna yang mampu mencacatkan sebuah lukisan.

~Heeeee.. Saje je feeling awal-awal. Ni lah padahnya pergi AGD tiap-tiap tahun;p



Thursday, April 16, 2009

Mampukah sekuat dulu?? (bghn 3)

Saat coretan ini sedang ditaip, laptop saya ini sedang meluahkan lagu Untukmu Ibu. Nyanyian Mamat. Macam tahu-tahu pulak kan sesuai untuk jadi background music…Sudah terlalu lama lagu ini muncul, seingat saya ketika itu zaman saya baru memasuki alam persekolahan…

“Ampunilah dosaku sejak ku dilahirkan…

Hingga akhir hayatmu..”

Sungguh, saya benar-benar tidak dapat menggambarkan jika suatu hari nanti saya kehilangan permata hati nan satu ini. Oh... Saya tidak mahu menggambarkannya.

‘Ya Allah, kau berikanlah peluang padaku untuk terus menggembirakannya semampu mungkin..’

**************

Peperiksaan PMR akhirnya sampai ke penghujungnya. Saya masih ingat, selesai sahaja kertas yang terakhir, kami (ma, akak dan saya) pulang ke kampung arwah ayah. Di Morak, Tumpat. Tujuannya? Merawat akak. Akak sakit teruk yang mana agak sukar untuk saya terangkan. Akak terpaksa quit daripada mengikuti kursus Jururawat Masyarakat di Taiping, Perak. Tak dapat saya gambarkan betapa deritanya akak. Satu demi satu tangga yang didaki runtuh.

Di sana, kami tinggal di rumah Pak Teh Mat (abg arwah ayah). Akak diubati di sana. Setiap malam ma berjaga. Saya yang masih muda belia pun tak mampu untuk melawan kekuatan ma bersengkang mata menjaga akak. Jika dulu ma menemani saya untuk mengulangkaji pelajaran, kini tiba giliran akak pula untuk ditemani. Waktu saya menghadapi PMR, akak dah sedia sakit. Tapi, sakitnya menjadi-jadi selepas itu. Antara penyebab saya tidak ingin tinggal di asrama. Ma banyak merahsiakan tentang sakit akak ketika saya di asrama. Malah, saya tidak diberitahu walau sepatah pun pabila ma ke Taiping dengan Pak Ngah untuk mengambil akak. Oh ibu.. Betapa kuatnya dirimu…

Di sana, setiap dinihari, saya mengikuti Makteh ke masjid. Makteh adalah ibu saudara saya. Isteri kepada abang arwah ayah saya(harapnya tak mengelirukan..hee). Sangat syahdu bersembahyang Subuh di situ, masjid yang hanya bersebelahan dengan kawasan perkuburan, di mana jasad ayah disemadikan. Setiap kali berjalan kaki pergi dan pulang, mata saya pasti akan terhala pada nisan di pusara ayah. 'Tempatkan dirinya di tempat yang terpuji, Ya Allah.' (al-Fatihah untuk arwah ayah). Saya berjalan beriringan dengan Mak Teh. Ma di rumah menjaga akak, tidak meninggalkan tanggungjawabnya walau sepintas lalu. Nekad saya makin kuat.

‘Ya Allah, kau kurniakanlah daku 9A. Aku terlalu menginginkannya…’

Sesungguh hati saya berdoa. Saya amat tidak sanggup melihat penderitaan yang ditanggung ma dan akak. Lalu, hati ini memujuk diri sendiri. Allah akan kurniakan kebahagiaan yang hakiki di hadapan kami. Ya, ada kebahagiaan yang menanti.... Teruskan kesabaranmu, wahai diri.

Agak lama kami berada di Morak. Atok di rumah dijaga Maksu. Alhamdulillah ada Maksu, dan Muiz dah makin besar. Menjelang keputusan PMR diumumkan, saya pulang sendirian ke rumah. Ma masih tidak mampu pulang walau akak telah menunjukkan tanda-tanda semakin baik. Menaiki bas dari Kota Bharu, hati saya sudah mula berdebar kencang walau keputusan akan diumumkan esoknya… Saya singgah di bandar Pasir Puteh, membeli buah untuk si kecil Muiz. Buah anggur. Terasa sangat bahagia pabila menyuap Muiz yang amat menggemarinya.

Malam itu saya tak mampu melelapkan mata. Tak dapat saya agak apa keputusan yang akan saya genggam keesokannya. Yang saya tahu, saya telah lakukan yang terbaik. Namun, ada juga kertas yang saya rasakan agak mencabar….

Segera saya teringatkan perbualan dengan ma tersayang sebelum bertolak pulang.

"Ma, adik takut. Kalau adik tak dapat macam mana?"

"Takpe dik. Rezeki tu kan Dia yang bagi. Ma terima apa jugak keputusan yang adik dapat. Ma tahu adik dah usaha sehabis daya." Ma masih mampu mengukir senyum.

"Tapi... Adik nak 9A. Mesti ma sedih kalau adik tak dapat kan?"

"Tak. Ma tak sedih langsung. Ma dah bersedia terima apa je keputusan adik dapat nanti. Dahla, Abang Aziz dah tunggu tu. Cepat, nanti lewat sampai Pasir Puteh."

Lalu tangan ma saya sambut. Sebelum pipinya saya cium.

"Ma doakan adik ye."


Hati saya terus berdetik. Mengingat kembali akan kertas-kertas yang telah saya lalui. Serasa banyak betul kesilapan yang telah saya lakukan. Mana mungkin 9A itu mampu saya capai. Hati mula berdegup kencang.

'Macam tak ada rezeki je aku nak dapat 9A...'

Dan saya sama sekali tidak sedar bila mata ini terlelap....

*********

Pon pon...

Sampai jugak akhirnya Pikah. Walau ternyata dia tidak lewat, namun sudah hampir sejam saya menanti bunyi itu.

"Jom.." Ternyata Pikah juga tidak sabar. Terus sahaja saya menuruni anak tangga.

"Maksu... Adik pergi dulu." Maksu yang berada di dapur bergegas datang.

Eh, tak salam lagi. Saya lantas naik semula. Tidak sempat mencabut sandal. Bimbang makin lewat. Tangan Maksu saya capai.

"Nanti adik nak pergi bandar lepas tu kan? Adik tolong beli sayur tau."

Saya mengangguk.

"Maksu doakan ye."

"Selamat berjaya." Maksu mengukir senyum cuba menghilangkan gundah di hati saya.


Sampai di sekolah, sudah ramai kawan-kawan saya yang sudah setia menanti. Ada yang datang bersendirian. Ada yang datang bersama ibu ayah. Tak kurang juga yang datang membawa adik sebagai teman. Jam sudah menunjukkan ke pukul 11.oo. Kami harus setia menanti.

"Cikgu tak balik lagi ambik result. Cikgu ada kat PPD lagi." Izani datang menyampaikan berita.

"Habis tu, pukul berapa dapat tahu ni?" Tanya Angah dengan muka tidak sabarnya.

"Cikgu kat pejabat tu cakap paling awal pukul 12.30 ni."

"Laaa... Lambat lagi kena tunggu ni." Masing-masing tidak mampu bersabar dengan penantian nan satu itu.



**********

Masih kebudak-budakan.. Baru mengenali alam sekolah menengah (Tingkatan 1)

Marilah kita sama-sama bersabar untuk menanti sambungan kesudahan secebis perkongsian ini...huuuu^_^

Saturday, April 11, 2009

Mampukah sekuat dulu?? (bhgn 2)

Sebab ke-3… (dan yang paling penting bagi saya)

--> Saya ingin mensasarkan yang tertinggi untuk PMR. Ya, yang tertinggi. Saya mahu menggenggam 9A. Saya sememangnya benar-benar yakin. Saya nak tandingi rakan-rakan sekelas yang sememangnya tak dapat lagi dinafikan kehebatannya. Hati saya terlalu ingin menggapai impian itu. Terlalu ingin. Mungkin keinginan saya melampau-lampau sehingga saya mula melakukan perkara yang tak pernah saya lakukan sebelum itu… MENULIS DIARI. Sehingga kini DIARI itu masih saya simpan. Masih saya bawa ke bumi Kuantan ini untuk sebuah kekuatan. Hari pertama persekolahan, dan tentunya permulaan tahun 2002 pada tika itu, saya coretkan di muka pertama sebuah DIARI…

6 Jan 2002: “Hari ni mula sesi persekolahan 2002. Alhamdulillah, aku masih kekal dalam kelas Juara-3 Juara. Ahli kelas aku seramai 29 orang aje. Teringat masa Darjah 6. Hari ni tahun yang penting bagi aku. Aku nak buktikan yang murid/pelajar di Dato’ Ismail boleh berjaya lebih cemerlang drpd Sek. Kamil. Aku nak sembahyang hajat & baca Yaasin every night supaya diterangkan hati utk berjaya dengan cemerlang. Aku nak pecahkan rekod 9A SMKDI. Insyaallah, aku kena berusaha lebih sikit. Ramai yang naik kelas. Lagi-lagi budak laki. Shahrul, Hazwan, Zulhilmi, Ikhwan & Faiq. Hisss.. Tak boleh jadi ni. Aku nak kekalkan prestasi aku. Sekurang-kurangnya top ten/top five student.”

Inilah bait-bait kata dalam DIARI saya. Saya memang menyalin sebulat-bulatnya. Tak mengapa, sekadar perkongsian, tak salah rasanya kan. Saya amat berterima kasih kepada nama-nama yang tertera di atas. Yang menjadi booster untuk saya. Tapi, nama-nama yang paling penting untuk saya tandingi pada tika itu ialah:

· Zainizam (kini di UTM: Engineering)

· Asmalina (kini di UKM: Education in Chemistry)

· Wan Nabil (kini di UiTM: Civil Engineering)

· Izani (kini di UiTM: Education in Biology)

· Kak Nurul (kini di UKM: Education in Physics)

Terima kasih yang tidak terhingga buat insan-insan ini atas persaingan sengit buat saya. Namun, jika hendak dikira, kesemua rakan sekelas saya amat saya cemburui. Sentiasa bekerja kuat tak kira masa untuk terus study dan study. Untuk Bahasa Arab, saya sentiasa mencemburui Nabil. Anak murid kesayangan Ustazah. Pendek kata, cakap je nak tahu perkataan apa, mesti dia dapat terjemahkan ke Bahasa Arab. Dengan cermin matanya yang sesuai dengan identiti ‘budak genius’ sudah cukup untuk membuatkan saya rasa sentiasa tak senang duduk kalau tengok dia mula buka buku.

Kalau Nabil pakar Bahasa Arab, saya selalu memendam rasa melihat Izani yang sentiasa mendapat markah yang tinggi dalam subjek Sejarah. Macam mana lah agaknya dia boleh hafal cerita pejuang-pejuang sejarah dan pembukaan Tanah Melayu dengan terperincinya. Sedangkan saya masih terkulat-kulat menggali memori jika ditanya Cg Rokiah, dia dengan lancarnya memberikan jawapan.

Ama(panggilan buat Asmalina) dan Zainizam pula sangat hebat dalam menguasai subjek Bahasa Inggeris. Walau saya telah mencuba sedaya upaya untuk mempersembahkan esei yang terbaik dalam setiap kali ujian, markah saya masih tak dapat menandingi mereka. ‘Kena cuba banyakkan kuasai vocab baru dan hebat ni.’

Kerajinan Kak Nurul menyiapkan nota Geografi nya seawal mungkin sering membuatkan lidah saya kelu. Baru belajar Bab 2, dia sudah mampu menyiapkan nota sehingga Bab 4. Kak Nurul tinggal di asrama, maknanya masa study nya lebih fokus. Tidak ada TV sebagaimana saya yang tinggal di rumah. ’Aku dah tak boleh manjakan diri tengok TV lagi.’

Atas semangat melihat usaha keras insan-insan hebat inilah, saya bangun membina azam yang cukup tinggi. Ingin menjadi yang terbaik di kalangan yang terbaik. Kekurangan diri saya nafikan sebagai alasan untuk tidak mampu berjaya. Andai mereka punyai seorang bapa untuk menanggung segala keperluan mereka, saya tak pernah kurang dengan kekuatan ma yang sentiasa bekerja kuat untuk membesarkan saya dan akak.

Ingin saya buktikan di sini betapa kekuatan wajah seorang ibu yang semakin berkedut dimamah usia mampu mengatasi segala kepayahan dan kesusahan yang saya harungi. Walau terpaksa berhujan untuk ke sekolah, saya sanggup. Saya sanggup melangkah dengan gagah tanpa menoleh ke belakang. Tak akan saya sia-sia kan pengorbanannya… Inilah buktinya kekuatan seorang IBU yang menjalar di segenap salur darah saya. Menjadi azam yang cukup hebat.

3.30pagi:-

- Saya bangun dengan mata yang segar. Kekuatan tekad untuk bangun mengulangkaji pelajaran sebelum melelapkan mata pada malam hari mengusir segala rasa malas. Menuju ke bilik air, menyucikan diri. Lantas, saya melangkah dengan berhati-hati ke ruang tamu yang gelap. Di situ, sejadah saya hampar. Saya tidak menggunakan ruang berdekatan dengan meja belajar. Atuk saya terbaring sakit berdekatan dengan ruang itu(al-fatihah buat arwah atuk). Saya tidak ingin mengganggu tidurnya. Di atas sejadah, saya menangis semahu-mahunya. Ustazah saya selalu berpesan, “Awak nak apa skali pun, doa lah. Doa banyak-banyak. Doa sungguh-sungguh. Nangis seikhlas hati. Air mata kita ni, bila gugur ke bumi dalam doa tu, insyaAllah Dia takkan tolak apa hajat kita.” Kata-kata itu terngiang-ngiang di telinga saya. Saya terlalu menginginkan 9A itu. Tak terungkap. Kerna saya tahu hanya itu yang saya mampu lakukan untuk menggembirakan hati Ma. Ujian Allah yang memberikan akak sakit ketika itu, tambah menginsafkan saya dengan ketabahan Ma. Menguruskan ayah dan anak yang sakit dengan ketiadaan seorang suami di sisi, hanya Allah yang tahu hatinya. Maka dengan itu, tangan ini ditadah, merayu umpama seorang pengemis. Mengemis kasih-sayang Allah buat hambanya yang kerdil ini… “Kabulkan permintaan hambaMu ini, Ya Allah..”

- Kemudian, saya melangkah ke meja belajar. Ternyata atuk masih lagi lena. Alhamdulillah, saya tidak mengganggu tidurnya. Sebuah buku saya ambil. Membukanya dengan membaca doa penerang hati moga diberi bantuan dalam memahami segala ilmu. Sedang saya asyik menelaah, Ma datang menyapa. Saya benar-benar tidak sedar bila masanya Ma berada di belakang saya.

“Ma tidur lah.” Saya tahu, Ma kepenatan.

“Tak apa. Ma teman adik kat sini. Banyak ke kerja sekolah tu?”

Saya tersenyum. “Kerja sekolah dah siap dah. Ni adik tengah baca balik apa yang adik blajar masa Tingkatan Dua dulu.”

Ma memandang saya dengan wajah yang sayu. Kepala saya diusapnya.

“Adik belajar rajin-rajin ye. Patutlah ayah pesan suruh ma jaga adik elok-elok dulu.”

Saya dapat lihat Mata ma mula bergenang…

“Ma, sedap je rasa kalau ada orang buat kopi O. Kopi ma kan sedap…”

Saya tersengih. Cuba berusaha mengubah fokus agar Ma tidak menitiskan air mata. Dalam hati saya ketika itu, Allah saja yang tahu.

Ma terus tersenyum melangkah menuruni tangga ke dapur. Tika itu, saya cepat-cepat mengesat setitis air mata mata yang tak dapat saya tahan. Bimbang Ma dapat mengesannya.

‘Betapa Ma terlalu merindui ayah.. Adik tahu, Ma. Kuatkan hatimu, ibu. Demi anakmu ini… Akan kucuba membahagiakanmu…’

Mampukah sekuat dulu??

Walau tahun berganti-ganti kunjung tiba, namun manusia takkan pernah jemu menanti kehadirannya. Senyuman manis, wajah yang kelat, linangan air mata, malah seribu penyesalan berlalunya tahun yang ditinggalkan silih berganti menujah rasa. Walau berbeza kandungan hati kita, kita tetap berpijak di perut bumi dan beratapkan langit nun jauh di atas sana yang sama.

1 Muharram 1430..

1 Januari 2009..

Sama ada Muharram @ Januari yang ditunggu-tunggu, AZAM takkan pernah terlepas mengiringi detik kunjungan tahun baru. Mengingatkan saya akan kenangan yang lalu. Kekuatan azam yang saya miliki seawal 2002 menjengah.

Ketika itu saya masih di Tingkatan 3. Terasa cepat benar waktu berlalu. Muiz yang baru lahir pada waktu itu pun sudah hampir menjangkau umur 7 tahun. Tahun ini ke sekolah lah dia. Becok mulutnya bercerita tentang kasut, beg dan baju baru untuk persiapannya menghadapi alam persekolan tiap kali panggilan saya dijawabnya.

PMR…15 tahun… Umur yang sesuai(barangkali) bagi menyediakan seorang insan yang dipanggil pelajar untuk melangkah ke alam menengah atas. Maka, wujudlah Penilaian Menengah Rendah atau PMR singkatannya. Tapi, ada juga insan yang mengambilnya di usia 14 tahun. Insan yang dikurniakan akal yang bijak untuk melayakkannya melepasi ujian PTS(Penilaian Tahap Satu) atau ‘lompat kelas’. Sekarang, ujian ini dah dimansuhkan. Jadi, sekalung tahniah buat insan-insan bertuah yang berjaya melepasinya.. Azri-org kuat bermacam program:p, Hanisah-‘klasmate’ Allied, Abg Ngah-sepupu yang telah terbang jauh ke Ireland, Idah-‘skulmate’ di SESTER dan semua ‘orang lompat kelas’ di Malaysia..heeee J

Nekad dengan keputusan untuk keluar dari asrama SMK Dato’ Ismail menjelang 2002, saya tidak hadir untuk sesi pendaftaran para penghuni asrama. Natijahnya, saya dipanggil Umi (ketua warden aspuri) pada hari pertama persekolahan bermula.

“Kenapa awak tak datang daftar semalam, Sakini?”

“Emm… Saya dah tak tinggal kat asrama, Umi. Saya duduk rumah.”

“Amboi… Sape yang pandai-pandai bagi awak kelulusan keluar asrama nie?” Umi memandang tepat mata saya.

‘Alamak.. Habis la kali ni. Umi dah nak marah. Ya Allah, tolonglah aku…’ Saya merintih sendirian dalam hati.

“Saya baru je nak letak awak dalam biro Aspuri.” Umi masih tidak mengalihkan pandangannya.

“Umi, saya mintak maaf sangat-sangat. Saya sebenarnya nak teman Ma saya. Atok saya pun sakit sekarang. Dah tak boleh nak bangun. Kalau saya ada, saya bolehlah tolong ma jaga atok. Maaf ye Umi.” Saya memandang Umi dengan muka bersalah (muka seposen..heeee).

“Hmmmm… Kalau macam tu, saya nak buat macam mana lagi.” Umi mula merendahkan nadanya.

“Tapi lain kali, sekurang-kurangnya bagitahu la sepatah kat saya.”

Saya hanya tersengih tanda mengakui kesilapan saya.

*******

Sebenarnya, ada sebab lain juga yang mendesak saya mengambil keputusan nekad itu. Walau saya tidak berbohong pada Umi, namun hakikatnya tidak semua kebenaran saya rungkaikan. Antaranya:

1-Saya ingin lari daripada menyertai kumpulan nasyid. Sekolah saya amat aktif dengan kumpulan nasyidnya. Setiap tahun, pasti kami akan ke pertandingan peringkat negeri. Dan saya salah seorang anggota kumpulan (bukan solo ye..heeee). Apa yang menjadi masalah buat saya, latihan nasyid terlalu efektif bagi saya hinggakan kadang-kadang mengganggu waktu study saya. Untuk pengetahuan, semua ahli nasyid terdiri daripada ahli Aspuri. Maka, apabila saya tidak lagi menjadi penghuni Aspuri, dengan automatiknya saya tidak lagi menjadi ahli kumpulan. Heee…J Walau puas dipujuk Cg Hasnah(jurulatih nasyid @ kami panggil Mama), akhirnya beliau terpaksa mengaku kalah dengan pendirian saya.

2-Saya nak study di awal pagi. Waktu ‘prep’ di sekolah saya pada waktu itu bermula daripada selepas isyak hinggalah jam 11malam. Melepasi sahaja waktu itu, lampu dorm WAJIB ditutup. Kalau tidak, suara Umi akan kedengaran dengan kuatnya….”Dorm 12…Light off!!!” Tak ke malu kalau sampai ke Aspura(yang bertentangan dan hanya dipisahkan oleh Dewan Makan) dengarnya suara itu. Tambahan lagi, saya sebagai ketua dorm, mana mungkin mampu mengingkari arahan itu. Lalu, mahu atau tidak saya perlu mematikan lampu walau tersimpan niat untuk study lebih sikit. Sebenarnya, tabiat saya, suka tidur awal dan bangun di awal pagi untuk study. Namun, jadual yang rigid di asrama sama sekali tidak mengizinkan tabiat saya itu diteruskan.

***bersambung....=)


Monday, April 6, 2009

Siapalah diri ini tanpa dirimu...

Hari ni, rasa rindu yang teramat sangat pada ma dan akak. Yelah, masakan saya boleh nafikan cemburunya hati saya ni memikirkan akak dapaat bermanja dengan ma tanpa saya...heeeeee. Bukan tamak, tapi kalau kami 3 beranak dapat duduk bersama, macam-macam lah cerita akan keluar. Mesti topik yang paling hangat ialah pasal 2 orang sepupu yang sebaya dengan saya akan menamatkan zaman bujang mereka bulan Jun ini...huuuu.. Dah nak kawen Kak Ngah dan Abg Ngah. Kak Ngah berjumpa jodoh orang Kelate jugak. Senang la nanti Pak Ngah saya. Dekat je... Pak Muda pulak bakal berbesan dengan orang negeri Hang Tuah....huuuuu.

Tapi, semua tu dalam fikiran saya je. Yelah, nota yang bertimbun lagi suci bersih ni, siapa yang nak bela nasib mereka kan? Yang sepatutnya, nasib saya yang lebih tepat:P

Jadi, nak tak nak, hati perlu dikuatkan! Semangat! Bukan senang nak dapatkan semangat pada saat-saat genting ni. Jadi, apa yang saya selalu buat??? Lirik di bawah ini lah sumber inspirasinya....


When I am down and, oh my soul, so weary;
When troubles come and my heart burdened be;
Then, I am still and wait here in the silence,
Until you come and sit awhile with me.

You raise me up, so I can stand on mountains;
You raise me up, to walk on stormy seas;
I am strong, when I am on your shoulders;
You raise me up: To more than I can be.

You raise me up, so I can stand on mountains;
You raise me up, to walk on stormy seas;
I am strong, when I am on your shoulders;
You raise me up: To more than I can be.

You raise me up, so I can stand on mountains;
You raise me up, to walk on stormy seas;
I am strong, when I am on your shoulders;
You raise me up: To more than I can be.

You raise me up, so I can stand on mountains;
You raise me up, to walk on stormy seas;
I am strong, when I am on your shoulders;
You raise me up: To more than I can be.
You raise me up: To more then I can be.

(Performed By Josh Groban)


Waaaaaa... Kalau dah sedar jerit perih susah payah Ma membesarkan saya sampai boleh kenal macam mana rasanya berada di Universiti, takkan tak boleh nak sedar diri lagi nak balas jasa ibunda tercinta kan??? Huuuu... Marilah kita sama-sama menghayati jasa insan yang sanggup menempatkan kita di dalam perutnya untuk diusung ke sana sini. Bukan sekejap, 9 kali putaran gerhana tu......... Insaf.. Insaf...


p/s: Kawan-kawan KAHS yang pergi 'Iflah Camp' masa 1st Year mesti tak lupa lagu ni kan??

Sunday, April 5, 2009

Aduhai....

Syamil baru je beberapa hari mengenal dunia

Syamil dibotakkan..huu(4 bulan)
Dalam perjalanan nak pergi sungai congkak (6 bulan)


Menjelang Aidilfitri 2008


Pernah tak kalian rindu sangat-sangat akan seseorang sampai boleh nangis? Ya? Tidak? Bagi yang jawapannya ya, kita boleh sama-sama berkongsi perasaan. Wajah comel budak kecik kat atas inilah yang menyebabkan saya menangis. Terlalu rindukan dia......

Waaaaaa..T_T

Cik Su rindu Mil sangat-sangat..

Tunggu Cik Su habis final exam, AGD, Baktisiswa...

Lepas tu, kita main sama-sama ye...




--> pesanan yang saya pernah terima: Jangan la dapat anak yang awak tak dapat nak tengok dia hari-hari kalau macam ni la keadaannya rindu kat anak buah...huuuu.. (Saya terpaksa akuinya, Cik Hasanah!;D)


Saturday, April 4, 2009

SESUCI KASIHMU....

Setiap seorang dari kita mempunyai kenangan Aidilfitri tersendiri. Walau bagaimana sekalipun coraknya, ia pasti takkan mudah untuk dilupakan…..


KENANGAN AIDILFITrI 2008...


*************

“Ma. Kepala adik sakit sangat.”

Lalu tangan si ibu terus memicit-micit kepala anaknya sehingga terlena di ribaannya

“Panas sangat dah ni. Kita pergi klinik ya. Dah makan panadol pun tak baik-baik lagi..” Si ibu memujuk si anak.

Di klinik… “Demam musim nie… Nanti baik la ni.” Ayat biasa seorang doktor..heeee

Singgah di restoran. Si ibu memesan nasi berlaukkan ayam bakar untuk anaknya. “Nasi separuh je ye dik. Satu bubuh udang. Satu lagi bubuh ayam bakar ye.”

Hanya tiga suap nasi yang mampu memasuki halkum si anak. Selebihnya, si ibu yang menghabiskannya. “Tak apa. Makan sampai mampu je. Yang tak abis, tinggal.”

Di rumah….

“Ma. Adik rasa macam nak makan sardin boleh tak ma? Yang tumis bubuh tomato, bawang besar. Lepas tu, perah asam limau nipis. Rasa macam sedap je..”

“Nak makan sardin… Boleh. Nanti ma pergi beli. Kedai Kak Cik tu ada rasanya. Sardin cap ayam sedap. Nanti ma tanya dia ada tak…”

Tudung dicapai untuk si ibu melangkah ke kedai.

“Lagi… Rasa nak makan apa?”

“Tak nak pape dah.” Gelengan turut menyusul sambil mata memerhatikan si ibu yang bersiap untuk ke kedai. Seketika, mata kembali terpejam menandakan tubuh memerlukan rehat…

“Dik… Bangun dik. Ma dah balik. Mari kita pergi dapur. Sementara tunggu ma masak sardin ni, boleh duduk sana. Nak makan biskut ke, kek ke, minum air milo ke… Jom bangun.”

Tangan si anak dipimpin ke dapur. Menjalarkan kasih sayang yang tulus murni buat zuriat yang pernah dikandungnya.

Di meja makan…. “Nak air milo? Ma buat…”

Si anak menggeleng.

“Ni ada lagi kek pisang raya ni. Ma potong ye..”

Si anak terus menggeleng. “Nak makan nasi dengan ikan sardin.”

Lantas si ibu teringat niat asal ke dapur. “Ok2. Nanti ma masak. Kejap je ni..”

“Ma… Nanti kita makan sama-sama ye.”

Si ibu mengangguk… “Boleh..” Sambil tersenyum.


*****************

Secebis kisah saya pada Aidilfitri tahun ini. Tambah menyedarkan saya erti kasih-sayang seorang ibu. Sebak makin terasa tatkala pipi ini diciumnya sebelum menaiki bas. Berat hati melepaskan puteri bongsunya dalam keadaan yang masih belum sihat sepenuhnya. Lalu, doa dititipkan buat perjalanan si anak sentiasa selamat menempuhi ranjau dunia.Kasih sayang yang tulus suci, tanpa pernah meminta sebarang ganti. Cukuplah dapat melihat si anak tersenyum gembira menghadapi hari-hari yang bernama kehidupan.


Itulah Ma saya. Wanita yang PALING HEBAT di kaca mata saya.

14 tahun bersendirian menunaikan amanah arwah ayah

untuk membesarkan saya adik-beradik, hanya insan yang sanggup diuji mampu mengaharunginya seorang diri. Dan kekuatan yang saya ambil darinya lah yang menjadi bekalan saya ke mana sahaja. Saya ingin menjadi setabahnya…. Walau dia takkan membaca coretan saya di alam canggih ini, namun saya ingin semua insan yang bergelar anak tahu, insan yang melahirkan kitalah yang sepatutnya sering menerima ucapan sayang dari bibir kita…..

Adik sayang sangat kat Ma!!!



Syamil dengan Tok Ma nya..(di klinik)

Aku terima nikahnya....

Seorang kawan bercerita tentang debate di dalam kelas Parenting nya. Tajuk-tajuk yang diberikan oleh pensyarahnya(Dr Rizal kami..heee) amat menarik. Masakan tidak, pabila wanita ‘terpaksa’ menyokong bahawa “I have no problem with polygamy” merupakan pendiriannya, lelaki pasti akan tersenyum lebar=) huuuu.. Dapat saya bayangkan betapa hangatnya suasana di dalam kelas itu.

Serta merta kotak memori saya mula menggali kenangan pada hari paling bahagia buat akak saya. Menanti penuh debaran saat dirinya akan bertukar status. Menjadi sayap kanan buat insan bergelar suami. Akak melangkah ke alam perkahwinan pada ketika usianya menginjak 25 tahun. Maknanya, untuk saya ada 4 tahun lagi (heeee…)

Jika Ramadhan yang lepas merupakan Ramadhan pertama akak memasak juadah sahurdan berbuka buat seorang suami, tahun ini akak tentu akan lagi sibuk memasak di dapur dengan kehadiran Syamil sebagai ‘pembantu’ nya=) InsyaAllah, saya akan sama-sama merasai nikmat awal Ramadhan pada tahun ini dengan akak (ucapan terima kasih yang istimewa buat UIA kerana memanjangkan cuti pertengahan sem tahun ini..huuuu)

“Aku terima nikahnya Sakira binti Salleh dengan mas kahwin……….”

Suara Abg Mat bergema di dalam masjid itu. Masjid yang jaraknya beberapa puluh meter sahaja dari rumah saya. Alhamdulillah, dengan sekali lafaz, akak sah dimilki..

“Akak sekarang dah jadi isteri orang,” bisikku di telinga akak…

“Akak sedih, dik..” Seperti biasa, akak mengalirkan air mata, sambil tangan saya digenggam erat. Alahai.. Orang lain happy dapat kahwin, dia nangis pulak…huuuuu..


“Ish, sapu air mata tu. Nanti mak mentua tengok, dia ingat akak pikir dia tak sayang akak pulak.” Saya cuba membuatkan akak tersenyum.

Pada hakikatnya, jauh di dasar hati, saya faham apa yang membuatkan akak sebak. Kami membesar bersama-sama. Sudah pastinya akak terkenangkan insan yang sepatutnya menjadi walinya pada hari yang paling istimewa itu. Insan yang tak pernah meninggikan suara buat kami, apatah lagi mengangkat tangannya. Arwah ayah… (al-Fatihah buat ayah yang tercinta)

Abg E (Saidi Salleh), abang sulung saya yang menjadi wali untuk akak. Saya juga dapat lihat riak wajahnya sebak. Mungkin merasakan tanggungjawab besar yang dipegangnya bakal dilepaskan kepada seorang lelaki yang akan menjaga adiknya. “Mulai sekarang, Abg E dah tak bayar zakat fitrah Eira. Eira dah ada seorang suami.” Abg E bersuara kepada akak. Abg Mat yang berada di sisi akak mengangguk-angguk tanda memahami maksud sebenar Abg E. Tanggungjawab menjaga akak sudah terletak pada bahunya. Amanah yang diserahkan sebagia nakhoda kepada sebuah kapal yang belayar ke suatu destinasi. Apa yang paling pasti si nakhoda akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan kapal tidak akan sesekali karam… Moga kasih akak dan Abg Mat tersimpul hingga ke negeri abadi…. Ameeen..

Abg Mat dan akak tersayang (majlis meyambut menantu: rumah pengantin lelaki-P.Mas)


Dan saya?huuuu.Just wait and see.. Kan?? Juga buat sahabat-sahabat tersayang.. Yakinlah… Dan berserahlah sepenuhnya kepada DIA Yang Maha Agung…


Takkan dapat dileraikan ikatan ini...

Berbicara tentang seorang kakak, hati saya pasti terkenangkan akak… Kakak saya. SAKIRA SALLEH… Kakak yang terlalu baik buat seorang adik. Saya masih ingat bagaimana saya menangis teresak-esak pabila sedar dari mimpi saya kehilangannya. Lalu, nombor telefonnya terus saya dail. Tak dapat saya ungkapkan rasa syukur saat mendengar suaranya. “Adik doakan akak panjang umur ya. Jangan risau. Akak sihat..,” jawapan yang cukup melegakan saya.

Rupa-rupanya akak menyembunyikan sesuatu. Sudah hampir sebulan akak menanggung kesakitan. Mujurlah saya mengambil keputusan untuk mengambil lesen di Shah Alam pada cuti penggal yang lepas(atas nasihat ma). Berada di sisi akak, barulah saya tahu yang akak sering sakit di bahagian kanan abdomen. Dari satu klinik ke satu klinik si suami membawa isteri tercinta. Namun, keadaan akak tetap sama. Jalan terakhir, akak ke SJMC untuk melakukan full medical check-up. Terbukti, hasil keputusan daripada CT scan akak, terdapat 2 biji batu yang agak besar di dalam hempedu. Atau dalam bahasa perubatannya gallstones. Atas nasihat doktor, kata sepakat dibuat. Pembedahan perlu dilakukan dalam masa yang terdekat.

17 Mei… Tarikh akak akan dibedah. Ma sampai dari Kelantan. Syamil yang baru memasuki 7 bulan seolah-olah sangat memahami kesakitan yang ditanggung umi nya. Tak banyak kerenah dan keletahnya sentiasa membuat kami tergelak. Benarlah kata orang, anak merupakan kurniaanNya yang tak ternilai. Abg Mat tak putus-putus memberi kata semangat untuk akak(akak memang penakut…heeee). Disebabkan ma memang tak boleh bersendirian di hospital(ma masih tak dapat lupakan saat-saat bersama ayah di wad ICU HKL 13 tahun lalu), saya dengan sukarela menawarkan diri untuk menemani akak di SJMC. Ma menjaga Syamil di rumah. Manakala Abg Mat menjadi driver yang sentiasa menunggu untuk berkhidmat 24jam.

Pagi 17 Mei, telefon akak dihujani panggilan daripada adik-beradik yang lain. Ucapan selamat penguat hati moga semuanya berjalan lancar. Kak Ya di Perak tak henti-henti meluahkan kekesalan tak dapat bersama-sama menemani akak. Kak Ya sememangnya manja(walau dah menjadi ibu kepada 6 cahaya mata..huuuuu). Saya sempat bertemu akak sebelum dia dimasukkan ke bilik pembedahan. Ketika itu, hanya seorang yang dibenarkan menemui pesakit untuk satu masa. Saya memberi laluan untuk Abg Mat bertemu akak terkebih dahulu. Ma berada di bilik menunggu bersama cucunya. Sebaik sahaja Abg Mat keluar, saya masuk menemui akak. Wayar yang memenuhi tangannya membuatkan hati saya sebak. Ada air mata yang mengalir di pipinya. “Adik, akak takut…” Lalu, saya kesat air matanya. Kalau diturutkan kemanjaan saya, hujan air mata akan melimpahi bilik itu. Namun, saya kuatkan hati semata-mata untuk mengalirkan semangat buat akak. Saya nekad untuk tidak sekali-kali menangis. “InsyaAllah, tak ada apa-apa kak. Sikit je. Doktor akan buang batu tu, lepas ni OK lah. Lepas ni akak bolehlah jadi chubby, tak cekeding dah. Baru lah boleh lawan Syamil, “ pujuk saya sambil menyapu air mata di pipi akak. Walau hanya Allah yang tahu perasaan saya ketika itu, saya hadiahkan akak senyuman yang paling manis. Akak tersenyum… “Adik keluar dulu ye. Good luck, kak. Adik tunggu akak dengan Syamil masa akak keluar nanti tau.” Dahi akak saya kucup.

Alhamdulillah, setelah menunggu beberapa jam, akak keluar dari bilik pembedahan. Seperti yang dijanjikan, Syamil saya rapatkan ke muka akak untuk dicium. Saya faham betapa rindunya akak pada zuriat yang dikendongnya ke mana sahaja selama 9 bulan itu. Syamil tersenyum. Menzahirkan rasa yang sama pada ibunya=) Syukur padaMu, Ya Allah…

Kami berkongsi segala-galanya. Saya merupakan satu-satunya adik buat dirinya. “Akak tak pernah rasa adik dah dewasa. Akak sentiasa rasa adik akak ni adik yang kecik-kecik dulu…” “Kalau macam tu, sampai bila-bila lah adik tak boleh kahwin. Macam mana kalau sekarang ni ada orang yang nak pinang adik??” Saya memang gemar menyakat akak. “Janganlah cakap macam tu. Akak dah rasa sedih ni. Macam terlalu awal untuk akak lepaskan adik.” Dapat saya lihat perubahan riak di wajahnya. Rasa bersalah pula saya. “Heee… Gurau jela. Macam budak kecik akak ni. Malu dekat Syamil tau..” Akak tersenyum mendengar kata-kata saya.

Teristimewa buat akak….. ADIK SAYANG SANGAT AKAK!!!!

Buat kalian yang tidak mempunyai kakak... Tak apa. Nanti dapat 'kakak ipar' yek.. heeee

Semangat!!!

“Awalnya ma bangun.. Dah siap masak pun? Wanginya..”
Lantas kepala ini dijengukkan ke dalam kuali. Ma hanya menggeleng melihat telatah saya.
“Mandi cepat. Subuh dah tak lama. Tapi sempat lagi kalau nak sembahyang hajat dulu.”
Lantas mata ini dihalakan ke arah jam di atas meja belajar.
“Ni ma dah panaskan air. Sejuk air tu nak mandi. Hujan kan semalam.”
“Yeke ma? Tak sedar langsung. Tidur mati.. heee.”
“Yela. Otak dah kerja kuat sangat. Dah, cepat sebelum masuk waktu Subuh.” Ma mula menggesa.
Saya melangkah penuh kesejukan. Baru perasan akan kedinginan yang lebih daripada kebiasaan. Perlahan-lahan menyentuh air yang telah tersedia. Suam… Sangat selesa pada waktu yang sejuknya berjaya menyebabkan bulu roma saya berdiri dengan jayanya.
“Ma.. Adik tak nak makan telur masak separuh ni boleh? Nak makan nasi goreng ni je. Boleh?”
“Makan la sikit. Makan sampai boleh je. Bagi tenaga. Nanti semangat jawab soalan tu.”
“Ala. Nasi goreng ni pun dah terlebih semangat. Ma kan cakap nasi tu semangat.”
Saya mempamerkan gigi tanda memujuk ma. Bukan apa, saya agak kurang selesa dengan rasa telur masak separuh. Agak pelik bagi saya.
“Kena makan jugak sikit. Ma dah rebus ni. Tak kesian kat ma ke?”
Mendengar kata-kata ma, saya tidak menunggu lama, terus menghirup telur yang telah dicampu kicap itu. Licin! Hati ma takkan sekali-kali saya guris…..

*******************

Kenangan ini lah yang menyebabkan saya tidak mampu menjamah apa-apa makanan setiap pagi peperiksaan SPM. Mana mungkin saya mampu merasa kasih sayang penguat semangat daripada masakan ma sedangkan saya berada jauh dia SESTER(SM Sains K.Trganu). Sekotak kecik susu Fernleaf beserta suara ma di telefon. Hanya itu yang mampu melalui kerongkong saya. Saya tak mampu melangkah ke Dewan Makan sebagaimana kawan-kawan yang lain.

Dan kenangan itu menjamah lagi...
Di awal pagi ini...
Pagi hari pertama untuk Final Exam bagi semester ini...
Moga Allah berikan kekuatan buat saya dan para sahabat...
Yakin...Allah itu segala-galanyanya...
For SANAH,WA,CHA...n all 4th batch KAHS students...


CHAIYOKKK!!!Jom kita buktikan kehebatan kita!(mcm kata-kata Dr.Nik:"Awak takkan tahu diri awak hebat sehinggalah kami bagi EXAM sebagai bukti.." heeee)

Friday, April 3, 2009

Alhamdulillah=)

Memori… Takkan luput dari ruang ingatan. Dah namanya pun memori kan. Kotak segala kenangan. Yang manis, yang pahit, pasti meninggalkan kesan yang tersendiri di dasar kalbu… Suka duka. Ketawa dan air mata. Rajuk dan gurau senda. Seribu satu rasa disemai ke dalam jiwa. Apa yang pasti,akan berulang lagikah semua lipatan itu? Sampai bila ia akan terus mempertahankan keteguhan dan keutuhannya untuk bertakhta di sanubari??? Hati ini terus berbicara… Dan kenangan itu datang lagi…

Blog ini akan menjadi bukti memori-memori yang terkumpul di hati ini takkan pernah cuba dipadamkan...

Dan yang paling pasti, memori inilah yang menjadi panduan diri ini dalam melayari sebuah pelayaran bernama kehidupan. Yang baik diambil manfaatnya, yang buruk dijadikan pengajaran agar tidak terjatuh di tempat yang sama berulang kali...

Hikmah itu sentiasa ada. Namun, terpulang pada kita untuk menafsirnya. Kerna hiknah sebenar-benarnya hanyalah milikNYA...