Thursday, January 22, 2015

New bestfriend

Ya. Saya dah menambah bilangan sahabat baik. Selama ini memang ramai insan yang berkongsi rasa dengan saya. Saya dikurniakan bahu-bahu untuk bersandar saat kesusahan berkunjung tiba. Alhamdulillah Dia berikan saya nikmat kasih-sayang yang melimpah-ruah.

Dan kini, saya dihadirkan insan yang sanggup menjadi sahabat karib saya. Kali ini unik sekali keadaanya. Kerana dia seorang lelaki. Lelaki yang setakat ini tak pernah jemu mendengar cerita saya. Lelaki yang sentiasa setia mengesat air mata saat kesedihan itu menyapa. Lelaki yang tak pernah membiarkan panggilan telefon saya sepi tak berangkat tanpa kata. Walau dia dalam lena. Huuuu. Harapnya dia takkan jemu melayan sahabat baiknya ini hingga ke hujung nyawa. Walau usia perkahwinan baru menjengah sepurnama, banyak perkara sudah mendidik saya untuk semakin bersyukur dengan nikmat kurniaan-Nya.

Jodoh adalah antara hadiah paling indah yang berbungkus rapi buat hambaNya. Sungguh. Dia insan yang asing buat saya. Tidak pernah bersekolah di tempat yang sama, alam menara gading di universiti yang berbeza malahan tempat kerja juga berlainan cara walau kerjaya kami sama. Huuuu. Kurang setahun mengenalinya sebelum disatukan dengan lafaz sakinah penuh rahmat itu. Moga diizinkan untuk tahun demi tahun hidup bersama dalam redhaNya. InsyaAllah.


Yes. He's my briestfriend! :)





Monday, January 12, 2015

5 Disember 2014

Fuh. Hampir setahun blog ini dibiarkan sepi. Rindu? Tipu kalau saya nafikan perasaan untuk menaip itu. Namun, keterbatasan talian internet di rumah ditambah dengan kurangnya keazaman untuk mengadap laptop menatijahkan kelesuan blog ini. Terasa rugi. Sebab banyak perkara boleh dijadikan memori yang takkan mampu kita imbas kembali sesegar pada waktu ia nya berlaku. Fresh, kata orang putih. Heee

5 Disember suatu tahun yang sudah lama berlalu, Ma bersusah payah melahirkan saya. Hingga ke HUSM nun di Kubang Kerian. Bukan perkara normal melahirkan di hospital sebesar itu pada zaman itu. Syukur Allah izinkan saya melihat dunia, menjadi anak buat Ma yang sangat tabah dan Ayah yang sangat penyayang.

Dan kini, tahun 2014 yang lalu (walau baru sebulan melepasi), tarikh yang sama itu menjadi saksi termeterainya lafaz sakinah insan yang Allah takdirkan untuk mengambil alih memikul amanah menjaga saya ke hujung usia kami insyaAllah. Tak pernah terlintas pada hari lahir yang lalu (5 Disember 2013), saya akan menjadi seorang isteri pada tarikh ini, yang jatuhnya pada hari mulia, hari Jumaat. Hanya lafaz syukur mampu dizahirkan.

..........

Terlalu banyak yang mahu dicoretkan. Namun, jari-jemari seakan kaku untuk terus menari. InsyaAllah ada kelapangan, kisah bagaimana ikatan ini termeterai akan dilakarkan di sini. Buat tatapan kami kelak meniti usia tua.

Untuk kali ini, terima kasih buat insan berani yang sudi menerima saya seadanya. Segala usaha abang untuk menjadikan ikatan ini terjalin tak mungkin akan dilupakan.










 We'll be forever bestfriend for each other, insyaAllah :)


Thursday, March 6, 2014

Duhai Ibu

Bismillah, wal hamdulillah. 

Terlalu banyak yang nak dicoretkan. Banyak sangat. Pejam celik, bulan ni genap 16 purnama saya berkhidmat di bumi Besut. Besut ni bolehlah dikatakan adik-beradik Kelantan, sebab loghatnya yang serupa :) Tapi, kad pengenalan mereka tetap berkodkan 11. Makanya, saya ni bekerja di negeri Terengganu dan tinggal di Kelantan. Hebat kan? ;) 

Berada di kampung sungguh mendamaikan. Lebih-lebih lagi sekarang ni musim menuai dah lepas. Tapi, ada sesetengah tempat yang baru semai anak benih padi. Jadi, pilih sahaja nak tengok yang mana, kehijauan atau kekuningan. Hidupan dan segala ciptaanNya ini tiada yang tidak menyejukkan pandangan mata. Segar dan nyaman...

Mata hati pula bagaimana? Segarkah? InsyaAllah sentiasa sihat wal'afiat :) Ada ketikanya, demam selesema datang menjenguk hati. Melawat sahaja. Biasalah kan? Berada di persekitaran yang rata-rata anak dara menamatkan alam tidak berpasangan pada awal 20-an, memang bukan mudah untuk sentiasa mengekalkan ketegaran 'berlagak tidak kesah' ANDAI tidak punyai ibu yang sangat memahami. Maka, dengan ini saya sekali lagi ingin ulangi kesyukuran dengan kurniaan Allah buat saya. Bukan kerana memberi peluang Ma mempunyai saya sebagai anak, tapi kerana mengizinkan saya mempunyai seorang ibu setabah Ma. Jujur dari hati, saya tahu Ma bukan tak pernah runsing akan anaknya yang masih belum dimiliki ini, tapi Ma tak pernah gagal menyembunyikan rasa itu.

Jangan risau Ma. Dia akan datang, takkan lewat seminit, takkan cepat sehari :))

Hanya yang menghadirkan sebak di hati ini tatkala terkeluar daripada bibir manisnya:

"Kalau Ma pergi lepas tengok adik dah ada orang yang jaga, Ma dah cukup lega.."

Oh ibu.. ;'(

Respect




I owe you my respect. Yes, you! :)

Monday, October 21, 2013

Sepi

Itu pilihan. Bak mentimun dan pisau di tangan. Mampu 'dikerjakan' mengikut pilihan hati. Tatkala ramai yang merasa kemeriahan di tengah hiruk-pikuk dan gelak-tawa sanak-saudara, mungkin ada yang sedang kesunyian dalam senyuman mekar terukir di bibir. Maka, berpadalah dalam bergembira, jua berduka. Korbankan apa yang mampu dikorbankan. Semampu mampunya. Walaupun perasaan sendiri. Hakmilik diri kita tanpa perlu melibatkan orang lain. Namun, apalah salah jika pengorbanan diri sendiri yang mengetahui selain Maha Agung itu dilakukan demi mengukir senyuman di zahir dan hati insan lain? Apatah lagi jika insan itu adalah insan yang paling disayangi.

Senyum :)





Sunday, May 5, 2013

Bukan senang

Nak berjaya bukan senang. Nak mengekalkan kejayaan lebih bukan senang. Nak bersyukur dengan kejayaan, nampak macam senang tapi sejauh mana benar-benar senang itu? Atau syukur yang dilahirkan dengan senang itu belum syukur yang sebenarnya?


Berjaya memiliki. Tak kisah memiliki apa sahaja. Apa sahaja yang diingini. Mungkin ia/dia merupakan impian kita sejak alam pengajian, tika memiliki itu takkan mampu kita nekadkan apatah lagi realisasikan. Namun, mungkinkah syukur itu lahir dalam bentuk penghargaan tika ia/dia sudah berada dalam pautan, atau sekurangnya sudah di sisi mengurangkan beban?

Ini antara persoalan yang seringkali menjengah minda. Moga persoalan ini hadir bersama-sama dengan rahmat Tuhan.


Healing is a matter of time, but it is sometimes also a matter of opportunity. [Hippocrates]

*ia/dia membawa maksud yang sama dalam penggunaan Bahasa Melayu sebenar; merujuk kepada manusia. Namun dalam entri ini, saya mewakilkan ia sebagai benda dan dia sebagai manusia.



Wednesday, March 20, 2013

Jangan ada.





Untuk mereka yang sedang bersedih dan merasa kehilangan, saya tujukan dua buah lagu ini. Antara lagu yang saya suka. Kedua-duanya penuh dengan makna. Konklusinya, jangan pernah bersangka buruk dengan aturanNya. Kita sentiasa ada sahabat penenang jiwa. Kalamullah :)

Monday, March 11, 2013

Reason.






I love those who love me for no reason. Love all of you, lillahi Ta'ala :))

Sunday, February 17, 2013

Terima kasih, cikgu.

"Sakini, nanti masa rehat jumpa cikgu, ye."

Mata saya terkebil-kebil.

"Kenapa cikgu??"

"Tak ada apa-apa sangat. Tapi, nanti jangan lupa ye cari cikgu. Kalau tak ada kat bilik, tunggu dekat luar pejabat cikgu."
 
Terdengar sahaja deringan loceng waktu rehat, saya bergegas mencari cikgu. Cikgu Sayuti, di biliknya. Bilik PK HEM tika itu. Cikgu sedang asyik membuat kerja. Lantas pintu diketuk.
 
"Haa, Sakini. Masuk, masuk."
 
Saya melangkah masuk dan berdiri di hadapan mejanya.
 
"Duduklah."
 
Usai duduk di bangku empuk itu, terkeluarlah soalan dari bibir ini.
 
"Ada apa, cikgu?"
 
Wajah saya direnung cikgu.

"Awak belum pergi kantin ke?"

"Belum, cikgu. Lepas ni saya pergi." Senyuman saya ukirkan buat cikgu.
 
"Sakini nak tinggal dengan saya tak?"

Saya terkebil-kebil memandang cikgu.
 
"Nanti balik, awak tanya mak awak ya. Cakap cikgu ajak awak tinggal dengan cikgu."
 
Saya hanya termenung dan mengangguk sedikit. Sebelum keluar rehat, cikgu sempat menghulur beberapa keping duit kertas RM1. Saya menggeleng, namun cikgu tetap menyuakan, memaksa tangan saya menyambut huluran itu.
 
"Buat belanja masa rehat, ya."
 
"Terima kasih, cikgu."
 
Hanya itu yang mampu keluar daripada bibir ini. Ma sudah bekalkan duit belanja pagi tadi. Masih ada di dalam poket. Malah Ma memang tak pernah gagal membekalkan duit belanja buat saya dan akak setiap hari untuk ke sekolah.
 
'Tak apa lah. Nanti boleh simpan.'
 
Sampai sahaja di rumah petang itu, saya bergegas mengadap Ma.
 
"Ma, tadi Cikgu Sayuti bagi adik duit."

"Yeke? Baiknya cikgu tu. Murah rezeki dia buat baik dekat anak yatim. Nanti adik simpan duit tu." Ma senyum memandang saya.
 
"Lepas tu, cikgu suruh adik tanya Ma, boleh tak adik tinggal dengan dia?"
 
Wajah Ma berubah. "Adik nak duduk dengan cikgu ke?"
 
Saya menggeleng laju. "Adik nak duduk dengan Ma, dengan Akak. Adik dengar orang cakap cikgu tak ada anak perempuan. Sebab tu agaknya cikgu ajak adik duduk dengan dia."

Ma mengukir senyuman. "Nanti adik cakap elok-elok ya dekat cikgu, bagitahu Ma sunyi kalau anak-anak Ma tak ada dengan Ma."

Kata-kata Ma dibalas dengan anggukan saya.

Esoknya selepas selesai sesi pengajaran Bahasa Melayu, saya berjumpa Cikgu Sayuti di luar kelas. Bimbang didengar rakan-rakan lain. Berhati-hati saya menyampaikan kata-kata Ma, bimbang cikgu terguris. Cikgu hanya tersenyum dan mengangguk mendengar penjelasan saya.

"Tak apa." Hanya itu yang dijawab cikgu.

Sebelum berlalu, cikgu sempat mengusap kepala saya.

*****

Peristiwa pada usia saya 9 tahun ini masih segar dalam lipatan ingatan saya. Walau kini Cikgu Sayuti telah berada di sana kembali mengadap Penciptanya, jasa dan kebaikan cikgu untuk saya sentiasa saya doakan moga berganda-ganda ganjaranNya buat cikgu.

Budi yang baik dikenang jua~~

Wednesday, January 30, 2013

Cahaya Kebaikan

Bismillah..
 
Sekarang ni musim kenduri-kendara. Walimatul-urus, majlis pertunangan mahupun kenduri meraikan maulidur-rasul. Maka di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan selamat menyambut ulangpurnama yang ke-5 menjadi insan yang pernah disarungkan cincin tanda telah 'dicop' :) Istimewa buat ratu di jiwa En. Rinaldi, Puan Hasanah. [31 Ogos 2012 - 31 Januari 2013]
 
Tergerak hati untuk mencoretkan sesuatu buat diri insan yang istimewa di hati saya ini pabila membelek telefon tercinta yang dah 4 tahun menemani hidup saya. Lepas tekan-tekan, terjumpa lah 'nota' yang masih belum dipadam.
 
Senarai barang-barang untuk majlis bahagia akad nikah Sanah! ^^,
 
Semua barang dapat dicari di Jalan TAR sahaja,
kecuali yang paling bawah tu!
Kenapa ini coretan tentang majlis pertunangan? Sebab saya suka sangat suasana malam tu. Rasa macam ala-ala menyorokkan puteri dalam masa yang sama mahu mengenali siapakah putera tersebut. Eheeee. Ni kali pertama kami nak jumpa En. Rinaldi! Dan juga, masa ni Cik Karimah yang sedang berjuang di bumi Glasgow kini masih belum menaiki penerbangan. Inilah kali terakhir mereka bersua muka sebelum Cik Karimah meninggalkan bumi Malaysia. Mama Wa pula? Sedang sarat mengusung heronya yang gagah perkasa! Wa tetap ada di mana sahaja kami berada, dekat dalam hati :)
 
Ini adalah antara koleksi gambar yang saya sangat suka:
 
Muka penuh pasrah kononnya :p
 
 
Kesian mereka, semangat jumpa Ipad!
 

After all, we are so grateful for you, dear :)




Ceria kan muka ibu ayah? ^^,

Buat Sanah,
 
Sebelum ni, kita selalu cakap kalau Allah izinkan, nak dapatkan pasangan yang dapat sentiasa timbulkan suasana macam 'kita' sering lalui. Boleh 'bidas-membidas' dan 'patah-mematahkan' segala gurauan. Alhamdulillah, Allah makbulkan untuk Sanah dan Wa. E dan Nabil ada karakter tu :)) Baik sungguh Dia kan? Moga Sanah takkan pernah lesu untuk menjadi bidadari penghibur hati dunia akhirat buat seorang suami. InsyaAllah penyeri-penyeri akan menyusul dalam rumahtangga kalian. Ameen, Ya Rahman.

Monday, January 7, 2013

After all

I'm pretty realize..

 and


But, after all...


So, as a servant.. A real servant I mean...



Thursday, December 13, 2012

86x; the sweetest home!

Hidup membujang. Alam bergelar anak-anak dara. Berumah sewa. Ini adalah alam yang pasti dirasai oleh mereka yang sempat melangkah ke alam pekerjaan sebelum memegang amanah seorang isteri. Bagi mereka yang rezekinya murah, berkahwin seawal berada pada alam pengajian, lain pula pengalamannya :)

Melangkah ke rumah sewa buat pertama kalinya, debaran pasti ada. Lebih-lebih lagi berkongsi rumah yang berpenghuni lebih separuh dozen (nak lebih menampakkan kemeriahan). Ramai kan? Masa mula-mula, saya terfikir, 

'Macam mana lah diorang ni uruskan masa semua ye? Kalau nak masak macam mana? Nak mandi pagi-pagi semua nak pergi kerja? Kalau tengok TV yang satu tu tak berebut ke nak tengok siaran yang berbeza?'

Memang berkerut-kerut lah fikir semua tu. Yelah, nak tinggal bukan sebulan lepas tu cari rumah lain pulak kan. Cuma yang memberi sedikit kelegaan, anak buah yang paling 'senior' ada di sana :)

Meniti hari demi hari, saya mula merasakan seronoknya mempunyai adik beradik yang ramai. Saya hanya sempat membesar dengan akak sahaja dek jarak umur dengan abang kakak lain yang jauh. Jadi, bila dah tinggal ramai-ramai ni, fuhhh... seronok! Betul, tak tipu. Kalau masak, memang takkan masak untuk diri sendiri sahaja, mesti masak untuk makan ramai-ramai. Tapi, semua memang bukan yang jenis makan banyak. Nasi tu satu periuk kecil sahaja ya. Tu pun kadang-kadang tak berhabis. Kalau nak tengok TV, kami tengok sama-sama. Lepas tu, mulalah masing-masing jadi juri tak dijemput komen macam-macam. Jadual penggunaan bath room pula, memang tak pernah la terjadi baling baldi atau baling berus gigi sebab berebut mandi pagi-pagi. Semua dah ada jadual. Sistematik kan? Sangat gembira untuk pulang ke rumah ^_^

Syukur saya ditemukan dengan insan-insan yang baik. Kan dah terbukti cakap Ma, rezeki saya murah untuk jumpa orang yang baik hati :)) Rindddduuuu sangat semua akak [ya, saya ialah Cu.. heee]

Makan besar terakhir -_- Mama Mira dah selamat bersalin pun sekarang :)

Masa ni JJ AU2 dah gelap! huuuu


Terima kasih sudi sambut HARI TUA masa saya masih MUDA :p

Dan inilah antara kebahagiaan saya. Dapat gaduh dengan Kakak [anak buah] setiap hari! 
Csu really miss you, Kakak -_-



Akhir kata, untuk semua kenangan warga 86X yang tak mampu disenaraikan satu persatu:

p/s: 86X tu adalah nombor rumah kami. Tidak ada kaitan langsung dengan X-WoMan, X-Factor mahupun X-Ray. heee

Thursday, December 6, 2012

Suku abad: Kehidupan baru :))

Salam penuh kerinduan buat semua yang menanti cerita kehidupan terbaru di sini. Wujudkah gerangan yang menanti? Ya, saya tahu ada yang menjadi 'pembaca senyap' sungguh setia ;)) *perasan* Maaf atas keberjayaan membiarkan blog ini sunyi. Setiap hari terlalu banyak yang ingin dikongsikan. Namun, apakan daya tidak semua keinginan hati akan dapat dipenuhi. Itulah lumrah, kan? Lumrah juga yang menjadikan keinginan hati itu tak pernah padam. Setiap hari ada saja keinginan baru yang timbul. Hingga kadangkala tersasar dari landasan syukur yang hakiki. Oh sungguh lemah hati seorang hamba ini. Lantas pabila minda mula sedar, perlu segera kembali ke tapak sebenar. Itulah rahmat, yang andainya tidak diendah, rugi lah yang akan kunjung tiba dalam hidup kita. Na'uzubillahi min zaalik.

Alhamulillah, alhamdulillah, alhamdulillah. 

"Maka, nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?" [Surah ar-Rahman]

Bermula mendapat makluman melalui panggilan telefon mengenai penempatan Pegawai Dietetik yang baru dilantik, sehingga ke detik ini, saya masih terlalu malu dengan nikmatNya yang sungguh tak ternilai bagi saya. Ya Rabbi, betapa Maha Pemurahnya Engkau -_- Tak pernah saya menduga, apa lagi mahu menyimpan angan-angan untuk mempunyai satu peluang mengisi jawatan berdekatan negeri kelahiran sendiri, lebih-lebih lagi pada usia muda-mudi ini. Berkesempatan melihat sawah dan bendang, lembu dan ayam sepanjang perjalanan pergi dan pulang dari tempat kerja. Tiada lagi kesesakan lalu-lintas, lalu jerebu diganti dengan kabus nyaman. Subhanallah, sungguh tak terungkap. 

Dan di antara semua nikmat yang dikecapi itu, satu nikmat yang paling tak terucap dengan kata-kata, nikmat dapat melihat wajah Ma yang tetap cantik walau dimamah usia itu setiap hari. Setiap hari mampu mencium tangan dan pipi Ma.. Ya Rahman.. -_- Saya pasti, tiada seorang insan bernama anak pun yang tidak mahu berkeinginan seperti ini, melihat wajah ibu mahupun ayah setiap hari. Namun, dek desakan hidup yang memerlukan kita berkhidmat di kota-kota besar mahupun jauh ke pelosok pedalaman menjadi penyebab yang sudah tentunya tidak memungkinkan untuk kita tetap berada di rumah tempat kita dibesarkan oleh mereka.

Sejak di Tingkatan 1, saya tinggal di asrama. Menjengah ke Tingkatan 4, menuntut ilmu ke Terengganu. Usai SPM, menyambung kembara ilmu ke Kuala Lumpur dan seterusnya ke bumi Kuantan. Melangkah pula ke alam pekerjaan, kembali berhijrah ke Kuala Lumpur. Seawal umur 13 tahun hingga mencecah ke umur 25 tahun, Ma sudah tidak berkesempatan bertemu saya setiap hari. Hanya kemajuan telekomunikasi yang membantu. Terima kasih saya ucapkan kepada Alexander Graham Bell. Heeee :D

Namun kini, setelah hampir 12 tahun berjauhan, yang jika pulang pun hanyalah pada musim-musim cuti, saya mampu berada di teratak di mana saya dibesarkan sejak pemergian Ayah. Rumah yang penuh dengan suka-duka seorang ibu tunggal yang sangat tabah terus berjalan tanpa henti walaupun lelah bertandang demi kehidupan anak-anaknya. Terima kasih Allah, kerana memberi saya peluang ini -_-

Ada yang bertanya,
"Kini guna kabel mana ni dapat dekat? Orang lain dapat jauh-jauh."

Saya hanya mampu menjawab dengan senyuman,
"Kabel paling besar yang tak ada tandingan," sambil tangan menunjuk ke atas sana. 

Ya, Dia lah yang menguruskan semuanya. Jujur, saya sudah mula menyiapkan mental untuk dihantar berkhidmat jauh kerana menyedari status 'belum berkahwin' ini. Ma juga sudah saya maklumkan awal-awal untuk bersedia menerima apa jua keputusan daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Ma seperti biasa sentiasa akur akan apa jua yang ditakdirkan buat anak-anaknya. 

Kata Ma pada saya (sesudah mendapat keputusan penempatan), 
"Ma tak henti tadah tangan siang malam mintak Allah bagi yang terbaik untuk Adik sepanjang tunggu keputusan tu."

Air mata saya bergenang. Saya tahu, bukan Ma sahaja yang sentiasa mendoakan yang terbaik buat saya. Ramai insan mulia yang sentiasa tidak lokek doa mereka. Terima kasih sangat. Allah kabulkan doa Ma dan doa kalian -_- Dia tahu kemampuan (kelelahan) saya yang sebenarnya amat tipis untuk hidup di bandar besar itu. Namun, dek kerana kehadiran Akak, Kakak dan insan-insan baik hati yang sentiasa di sekeliling hidup saya selama ini, saya terlupa akan 'kekurangmampuan' itu. Ia bukti betapa penting dan perlunya kita akan kehadiran teman-teman penguat semangat, kan? :)

Pada usia yang baru menjengah 25 tahun ini, akan saya manfaatkan untuk berbakti kepada Ma tersayang, Maksu dan juga Muiz. Walau saya pasti syukur ini tidak mampu membalas kemuliaanNya mengurniakan rezeki sebegini besar buat saya, namun saya harap sekurang-kurangnya saya mampu membuatkan ada insan-insan yang turut gembira dan terus tersenyum gagah meneruskan pengembaraan di dunia ini untuk kehidupan yang penuh bermakna di sana kelak.

Buat semua insan mulia yang mengingati saya pada hari kelahiran tahun ini, ketahuilah bahawa anda semua merupakan salah satu sebab saya mampu terus tersenyum :) Walau kadangkala ukhwah itu tak terzahir pada pandangan manusia, namun ketahuilah bahawa aura hati kalian yang tulus itu tak pernah tidak sampai ke hati ini. Moga hati kalian terus-menerus dialirkan dengan arus ketenangan.. :)) Buat Cha, suara nun jauh dari Glasgow semalam sungguh membahagiakan hati ini! ^^, Terima kasih sekali lagi buat Alexander Graham Bell dan saintis-saintis penciptaan telefon yang lain. Heeee

Penyudah coretan kali ini, moga kita sentiasa bersyukur dengan setiap apa yang dikuniakan buat kita. Kesyukuran yang hakiki itu sesungguhnya lebih payah daripada sebuah kesabaran. Jangan berhenti berlari  dalam mengejar impian :)


Salam sayang,
Sakini,
Hospital Besut.

Friday, November 16, 2012

Good bye KLCC

Di bandar raya KL ini, saya tinggal di Dato' Keramat. Hanya beberapa kilometer jaraknya dari KLCC. Dari rumah, nampak menara yang tersergam megah itu. Malam-malam balik dari terawih, KLCC yang sungguh 'gilang-gemilang' ditatap. Sungguh terasa berada di tengah-tengah kota metropolitan. Tu belum lagi menginap di kondo kan? Hiks~~

Sekarang, saya akan pulang ke kampung halaman. Perkara yang tak pernah terlintas dalam akal fikiran yang sangat lemah ini. Sirih pulang ke gagang :)) Nanti saya bercerita panjang usai tugas-tugas yang bertimbun ini! ^^,




Tak terungkap syukurku, Ya Rahman -_-


Tuesday, October 23, 2012

Too

Sorry, you're too rich. You deserve a richer one than me. 


Monday, October 15, 2012

Merancang dan Perancang.

*Fasa bertukar*

Ya. Banyak perkara yang sangat sedikit dalam pengetahuan kita. Malah, banyak juga yang kita tidak langsung punyai idea tentang relevannya nikmat yang dikurniakan. Bagi saya yang jarang merancang dengan sebenar-benarnya, memang satu kejayaan besar pabila saya sudah menyenaraikan perkara yang akan saya lakukan dalam 2 tahun yang akan datang sekurang-kurang atau selebih-lebihnya. Boleh pilih yang mana suka, kurang atau lebih. 

Jujur, saya bukanlah manusia yang cukup berani untuk membuat perancangan jangka masa panjang. Ini adalah pengakuan yang bukan mudah bagi saya. Huuuu. Jika ramai insan yang boleh menjawab dengan lancar apa yang mereka mahukan dalam masa 5, 10 mahupun 20 tahun yang akan datang, saya perlu termenung sekurang-kurangnya setengah jam untuk menyenaraikan apa yang saya mahukan. Itu pun kalau ada senarai yang terhasil. Keberangkalian tidak ada itu adalah tinggi. Saya memang bukan seorang perancang yang baik -_- Sebab tu, kalau orang tanya nak kahwin umur berapa, (nak sahaja) saya masih gagal untuk menjawab dengan tepat mengikut kehendak hati. Jawapan yang saya rasa senang, "masa Degree dulu target tu" adalah bukan 100% kehendak hati juga. Punca utama? Saya yakin semua yang ditentukan Allah itu sudah terlalu molek. Namun, tak salah merancang kan? Cuma sekali lagi saya ulangi, saya amat lemah dalam mengatur perancangan.

Semenjak 2, 3 minggu yang lalu, saya mula merasakan satu semangat yang ....... sungguh, tak boleh diungkapkan. Yang pasti, itu semangat yang jitu untuk meneruskan pengajian ke peringkat Sarjana. Surat tawaran dari UM yang pada mulanya saya terima dengan perasaan yang agak 'beku' mula saya tatap kembali. Laman pemberi biasiswa bagi pelajar Master by Research kembali saya taip di ruang Google Search. Saya tidak pasti dari mana semangat itu datang, atau kembali. Yang pastinya saya sangat bersyukur. Saya kembali membelek timbunan jurnal yang telah dibekalkan oleh insan yang baik hati sebelum saya memulakan kerjaya di sini. 

Namun, aturan Allah itu sangat cantik..

Kini, (bukan nama saya ya :p) syahdu itu mula menjengah. Sedang mula menyiapkan hand over tasks untuk insan bertuah yang akan menyambung perjuangan saya di bumi UM ini.

Siapa boleh menduga?



p/s: Mungkinkah ada lagi kejutan, kejutan dan kejutan yang sedang menunggu?

Wednesday, October 10, 2012

Lima. Untuk DIA :)

"Bukan senang nak senang, dik." nasihat Abang Min buat adiknya ini. Terngiang-ngiang. Masih. Walau saya belum merasa nikmat dan cabaran membesarkan anak sendiri, sedikit sebanyak gigih yang terlihat pada wajah abang-abang dan kakak-kakak mampu meresap dalam jiwa. 

Awal pagi tadi, sambil menghala ke stesen LRT, nombor Akak saya dail. Betul-betul terlupa untuk mendengar suara birthday boy semalam. Niat di hati, mahu mengucapkan sendiri usai pulang dari tempat kerja. Namun, setelah lencun dek hujan lebat semalam, langsung terlupa. Tambahan pula menggunakan perkhidmatan awam, yang menyebabkan watak akan berubah menjadi ikan pabila tiba waktu pulang. Ikan sardin! :D

"Panjang umur adik. Baru je duk ngumpat pasal adik dengan Abang Mat."

Ish. Sungguh tidak berilmiah perbincangan suami isteri dalam perjalanan ke tempat kerja itu! Tidak mahu tahu apa yang dingumpatkan oleh mereka (pasti Akak akan bercerita juga), saya terus bertanyakan tentang Syamil.

Saya: "Semalam Akak bawa Syamil pergi mana?"

Akak: "Tak sempat bawa gi mana-mana, dik. InsyaAllah hujung minggu ni lah. Tak larat sangat semalam. Lagipun, dia nak pergi sekolah pulak hari ni."

Saya: "Dia tahu tak semalam tu Hari Jadi dia?"

Akak: "Tahu. Akak ada bagi bekas air Tupperware yang Adik tempah dengan kawan Adik tu, yang kecik, warna biru. Akak cakap kat dia, Mil, ni Umi bagi hadiah Hari Jadi Mil tau. Lepas tu, dia sengih malu-malu. Hari ni terus mintak nak bawak pergi tadika."

Saya tak mampu menahan senyum. Begitulah Syamil. Walau diberi sebiji gula-gula, dia tetap gembira. Harga memanjakan anak bukan terletak dengan mainan berharga ratusan ringgit, namun kasih sayang yang mengalir daripada setiap pemberian itu akan dirasai. Umpama magnet yang menarik segala benda bersifat logam. 









 


 















Masa berlalu dengan begitu pantas kan? Syamil dah berumur 5 tahun. Dah banyak perkembangan. Muka pun dah berubah. Tembam pun dah berkurang. Cuma Ciksu sahaja yang masih kekal awet muda sama seperti 5 tahun dulu. 


Gambar di atas ni sempena sambutan Hari Lahir Muiz. April lalu. Syamil tumpang pakai topi sekali. Abang Muiz memang baik kan? :)) Maksu buat pulut kuning. Ajak kawan-kawan Muiz datang rumah. 
Simple yet meaningful for him I'm sure.



Dan ini pula, video khas yang tak pernah didedahkan. Diambil semasa Aidilfitri 2011. Syamil takutkan air laut! Akhirnya, Abang Muiz juga yang dukung. Huuuuu

Akhir sekali, buat Syamil:



SELAMAT MENJADI ANAK SOLEH :)

p/s: Moga secebis coretan Ciksu ini dapat ditatap Syamil pabila dia telah cukup faham apa sebenarnya erti hidup :))

Friday, October 5, 2012

The hardest word? Not really :)

Pernah tak anda lakukan sesuatu tanpa anda tahu pun sebab perlunya tindakan tersebut? Ia lebih kepada 'tindakan luar rancangan' yang boleh saya simpulkan. 

Merajuk.
Sinonim dengan wanita. Sangat? Bergantung kepada individu. Ada yang selalu sangat, boleh dikatakan setiap hari mesti merajuk. Ada yang jarang-jarang, merajuk hanya untuk perkara tertentu dan kepada orang tertentu. Tapi ada juga yang sangat jarang, yang mana tak pandai sangat nak layan perasaan. Saya 'tabik spring' kepada mereka yang macam ni! :D

Yang pastinya, seseorang pernah berkata kepada saya:
"Someone did something because of something."

Nak tak nak, mesti ada juga sedikit sebab. Kalau tak ada angin, pokok akan berdiri tegak macam tiang elektrik kan? Heee.. 

Cuma kadangkala yang menjadi masalahnya adalah kesan daripada tindakan tersebut. Mana tahu ia mungkin mengguris perasaan orang lain? Walau memang hati kita dah terguris dulu, mana kita nampak kan kesannya buat orang lain. Nanti berkudis bernanah berparut tebal, haaaa.. Parah!

Jadi, ubatnya... Berbincanglah. Bak kata orang putih, heart to heart session. Dan satu lagi ubatnya:

SORRY. Just a simple word, but is the hardest for many of us. 

Kalau dah buat silap tu, jangan EGO. Bukan kemajuan yang ego tu boleh bawa kita. Oleh yang demikian, buat insan yang terasa atau terguris atau terluka, ikhlas dari hati ini buat kamu:




Eh, yang di atas ni gurauan sahaja. Ini yang sebetulnya:







p/s: Jangan serik dan jemu untuk memujuk! ^_~

Tuesday, September 25, 2012

My Little Girl

"Siapa rasa nak anak laki-laki untuk anak sulung nanti?

Hampir keseluruhan kelas. Hanya dua orang yang tidak mengangkat tangan. Dan salah satu tangan yang masih tegar berada di atas meja itu adalah tangan saya. Ya, saya memilih perempuan. Bukan menafikan hak yang Allah dah tetapkan, cuma ini hanya perasaan atau keinginan kan? Yang sentiasa terbaik tentulah yang diberikan :) Tidak ada secalit pun canggahan yang wujud di situ. Saya terima segalanya dengan perasaan seorang hamba. Kehidupan. Masa depan. Tiada sebesar zarah pun kekuasaan di tangan kita sebagai hamba. Melainkan doa yang dikabulkan olehNya dengan cara yang tentunya berbeza-beza. 

Mengapa perempuan? Saya juga tidak punyai jawapan tegar untuk soalan itu. Mungkin saya termotivasi dengan kekebalan hati Ma. Ma anak sulung :) Lantas, saya sangat menggemari lagu yang termuat dalam album terbaru Maher Zain ini. Jika rakan-rakan yang sudah punyai cahaya mata mendedikasikan lagu ini buat puteri mereka, saya pula sentiasa merasakan lagu ini bagai dinyanyikan oleh Ayah buat saya. Antara koleksi lagu yang saya akan pasang pabila memandu sendirian. 





Ayah, 
Sayang ayah sangat-sangat! :))

Monday, September 10, 2012

Teringin

Lari jauh. Itu hasrat dasar hati tika ini. 

Ya Rabb.. Tenangkanlah jiwa hamba yang hina-dina...


Pinjam. Terima kasih pemilik gambar.