Sunday, February 17, 2013

Terima kasih, cikgu.

"Sakini, nanti masa rehat jumpa cikgu, ye."

Mata saya terkebil-kebil.

"Kenapa cikgu??"

"Tak ada apa-apa sangat. Tapi, nanti jangan lupa ye cari cikgu. Kalau tak ada kat bilik, tunggu dekat luar pejabat cikgu."
 
Terdengar sahaja deringan loceng waktu rehat, saya bergegas mencari cikgu. Cikgu Sayuti, di biliknya. Bilik PK HEM tika itu. Cikgu sedang asyik membuat kerja. Lantas pintu diketuk.
 
"Haa, Sakini. Masuk, masuk."
 
Saya melangkah masuk dan berdiri di hadapan mejanya.
 
"Duduklah."
 
Usai duduk di bangku empuk itu, terkeluarlah soalan dari bibir ini.
 
"Ada apa, cikgu?"
 
Wajah saya direnung cikgu.

"Awak belum pergi kantin ke?"

"Belum, cikgu. Lepas ni saya pergi." Senyuman saya ukirkan buat cikgu.
 
"Sakini nak tinggal dengan saya tak?"

Saya terkebil-kebil memandang cikgu.
 
"Nanti balik, awak tanya mak awak ya. Cakap cikgu ajak awak tinggal dengan cikgu."
 
Saya hanya termenung dan mengangguk sedikit. Sebelum keluar rehat, cikgu sempat menghulur beberapa keping duit kertas RM1. Saya menggeleng, namun cikgu tetap menyuakan, memaksa tangan saya menyambut huluran itu.
 
"Buat belanja masa rehat, ya."
 
"Terima kasih, cikgu."
 
Hanya itu yang mampu keluar daripada bibir ini. Ma sudah bekalkan duit belanja pagi tadi. Masih ada di dalam poket. Malah Ma memang tak pernah gagal membekalkan duit belanja buat saya dan akak setiap hari untuk ke sekolah.
 
'Tak apa lah. Nanti boleh simpan.'
 
Sampai sahaja di rumah petang itu, saya bergegas mengadap Ma.
 
"Ma, tadi Cikgu Sayuti bagi adik duit."

"Yeke? Baiknya cikgu tu. Murah rezeki dia buat baik dekat anak yatim. Nanti adik simpan duit tu." Ma senyum memandang saya.
 
"Lepas tu, cikgu suruh adik tanya Ma, boleh tak adik tinggal dengan dia?"
 
Wajah Ma berubah. "Adik nak duduk dengan cikgu ke?"
 
Saya menggeleng laju. "Adik nak duduk dengan Ma, dengan Akak. Adik dengar orang cakap cikgu tak ada anak perempuan. Sebab tu agaknya cikgu ajak adik duduk dengan dia."

Ma mengukir senyuman. "Nanti adik cakap elok-elok ya dekat cikgu, bagitahu Ma sunyi kalau anak-anak Ma tak ada dengan Ma."

Kata-kata Ma dibalas dengan anggukan saya.

Esoknya selepas selesai sesi pengajaran Bahasa Melayu, saya berjumpa Cikgu Sayuti di luar kelas. Bimbang didengar rakan-rakan lain. Berhati-hati saya menyampaikan kata-kata Ma, bimbang cikgu terguris. Cikgu hanya tersenyum dan mengangguk mendengar penjelasan saya.

"Tak apa." Hanya itu yang dijawab cikgu.

Sebelum berlalu, cikgu sempat mengusap kepala saya.

*****

Peristiwa pada usia saya 9 tahun ini masih segar dalam lipatan ingatan saya. Walau kini Cikgu Sayuti telah berada di sana kembali mengadap Penciptanya, jasa dan kebaikan cikgu untuk saya sentiasa saya doakan moga berganda-ganda ganjaranNya buat cikgu.

Budi yang baik dikenang jua~~