Friday, January 14, 2011

Melepas rindu

Alhamdulillah. Hati rasa puas. Sayu dan sebak pun ada. Setelah sekian lama [memang lama] tidak melepaskan rindu, pagi 14 Januari 2011 (Jumaat), bersaksikan pohon-pohon dan kicauan burung, kaki ini menjejakkan kaki ke tempat persemadian ayahanda tercinta.

Ya, pulang ke kampung halaman. Ayah saya berasal dari Kg. Morak, Tumpat. Perjalanan yang mengambil masa hanya lebih kurang 15 minit dari Kota Bharu. Minggu pertama tidak pulang bersua muka dengan Ma sejak berpraktikal di HRPZ II. Dek kerana kekangan tugas yang menimbun untuk diselesaikan, atau dengan lebih tepat digerakkan walau cuma separuh. Kalau dah balik rumah, memang sayang nak mengadap laptop atau membelek kerja-kerja sekolah. Seronok memenuhkan masa bersama Ma, Muiz dan Maksu. Petang tadi pun dah dapat mesej dari Muiz bertanyakan kepulangan saya. Dia bagitahu yang Ma rindukan saya. [Saya tahu Muiz yang lebih rindukan saya..huuuuu] Ohhh... Memang hati ni sangat melonjak-lonjak untuk menatap wajah Ma, tapi apakan daya. Saya perlu kuatkan hati. InsyaAllah tak lama. Dua minggu je lagi nak habis praktikal kat sini. Semalam berbicara dengan Ma, Ma pun relakan saya untuk tidak pulang. Faham akan kelelahan saya untuk berulang alik P.Puteh-K.Bharu. Tambahan pula, minggu sebelum-sebelum ini, saya sangat keletihan memandu pulang dengan hujan tak berhenti. Kelantan dilanda musim tengkujuh, berita banjir kan banyak terpapar sejak 2 minggu lepas di televisyen. Alhamdulillah, rumah saya tidak menjadi korban limpahan air itu.

Saya mendapat berita bahawa Pakteh Mat (abang Ayah) baru melakukan pembedahan. Kanser usus. Hari Ahad yang lalu, sampai sahaja di hospital, terus saya naik ke Wad 30. Wad Surgikal. mencari katil bernombor 17. Namun, hati ini hampa pabila melihat insan lain yang menghuni katil itu. Terus ke kaunter jururawat, saya dimaklumkan pesakit telah dibenarkan pulang petang Khamis sebelumnya. Saya terlewat mengetahui keadaan Pakteh Mat. Tu pun Cik Ngah yang menghubungi saya. Saya kehilangan nombor telefonnya, nak maklumkan status diri yang berada di negeri sendiri. Sebabnya, ada juga sepupu yang berkhidmat di HRPZ II. Tapi, tidak saya ketahui di bahagian mana. Gerak hati Cik Ngah yang mahu memaklumkan keadaan Pakteh Mat kepada Ma, terdail nombor saya. Kalau tak, sampai hari ni saya tak tahu yang bapa saudara itu sedang menanggung kesakitan. Syukur atas kekuasaanMu, Ya Karim.

Lebih kurang jam 7.45 pagi, saya dan Kak Mariah bertolak dari rumah. Hati berdebar. Tak dapat nak digambarkan dengan kata-kata. Siapa dapat menafikan gelora rasa seorang anak merangkap juga cucu dan anak saudara mahupun sepupu yang telah lama tidak menjenguk pusara mereka (Ayah, datuk, nenek, ibu saudara) serta kaum keluarga yang masih dikurniakan nikmat kehidupan. Ma ada juga pulang ke sana memenuhi undangan perkahwinan mahupun menghantar salam takziah buat Wok Dah (kakak arwah ayah yang meninggal hampir dua tahun lalu). Ma datang berseorangan. Kerana kehidupan seorang anak bongsu ini banyak diabdikan perantauan. Maka jadilah saya 'anak arwah Cg Salleh yang lama tidak dilihat sanak saudara.' Alhamdulillah, Dia beri kesempatan untuk saya berkunjung dengan langkah kaki sendiri, tanpa perlu mengikut setiap langkah Ma seperti sebelum ini. Banyak hikmah yang ternampak pada pandangan mata ini di atas keputusan memilih dan diberi keizinanNya berpraktikal di tempat sendiri. [walau hikmahNya itu hanya di bawah pengetahuan Yang Esa]

Bersimpuh di hadapan pusara ayahanda, terasa satu perasaan yang aneh hadir. Al-Quran di tangan terus dipegang kemas. Fikiran ini sedaya upaya difokuskan ke atas setiap patah kalimah agung yang tersusun cantik itu. Tidak mahu dibuai emosi. Tanpa disedari, titisan itu gugur jua. Bukan hanya kerana rindu, namun kerana takut dan bimbang. Bimbang diri ini tidak menjadi harta yang berguna buat bekalan Ayah di alam sana. Sia-sialah zuriat yang dia tinggalkan andai tidak mampu menyumbang amalan baik buat si bapa. Oh Tuhan -_- Kelak, saya pasti akan menyusul Ayah di sana. Walau bukan semalam, mungkin esok, lusa, mahupun sedetik lagi. Pelbagai gambaran menerpa di kotak akal. Nasib di alam sana. Baikkah atau sebaliknya? Apakah amalan yang akan mengalirkan pahala sepanjang saya menyusuri kehidupan baru itu? Benarlah, jika dahagakan kesedaran, ziarahilah pusara mereka yang telah tiada. Pasti akan ditemui apa makna pengakhiran hidup ini yang sebenar....

"Ayah Kini takde masa umur Kini berapa ye dulu?"

Pertanyaan Kak Mariah membuatkan saya mula menghitung. 24-8 = 16 tahun. Maknanya sudah masuk tahun ke-16 Ayah meninggalkan saya.

"Masa Kini darjah dua. 8 tahun. Kiranya ni dah nak masuk tahun ke 16 ayah tak ada. Dua kali ganda daripada umur Kini dulu."

Nisan yang tertulis nama Ayah saya renung. Berada di hadapan pusara ini pada usia sebegini menghadirkan perasaan yang sangat berbeza dengan 16 tahun yang lalu. Walau rindu itu tak pernah berkurang, namun sebak itu semakin mendalam. Jika dulu saya menangis kerana tidak lagi mepunyai kesempatan dikucup dan dibawa Ayah ke mana sahaja, kali ini saya sangat terasa lantaran ketidakmampuan dirinya melihat saat-saat saya sudah hampir menggenggam segulung ijazah. Ohhh.. Ayah, ketahuilah bahawa anakmu ini tidak pernah melupakan setiap kenangan yang mampu terpahat di sanubari biarpun diberi peluang mengecap sayangmu sebentar cuma...

Ya Allah, bantulah hambamu menjadi anak yang solehah. Bekalan buat ibu bapa yang membesarkan dengan penuh limpahan kasih sayang. Amalan yang mampu menyelamatkan mereka daripada azab siksaanMu -_- Ameeen.

5 comments:

Mohd. Ramadan Bin Ab.Hamid said...

Dunia hanya tempat persinggahan... sabar ya =)

As said...

yes you can. and you already are..!

glad that i witness your 'growth' for these 8 years ;p

najwa said...

ameen..(sebak)

miera=)) said...

moga arwah ditempatkan dikalangan orang-orang yang soleh..Amin=))
~miera~

~candlesky~ said...

sanah, u took half of it! ;)

a lot of thanks wa n miera :)