"Pakcik... Saya nak bubuh tiub ikut hidung ni."
Pakcik diam.
"Pakcik.. Pakcik dengar tak suara saya ni?"
"Hooo."
Pakcik menjawab perlahan.
"Boleh tak ni saya nak pasang tiub ni?"
"Hooo."
Pakcik nampaknya bersetuju.
"Tapi pakcik jangan cabut la ye. Semalam pakcik dah cabut. Nanti sakitlah kena pasang banyak kali."
Pakcik terdiam.
"Pakcik.. Pakcik dengar tak ni?"
"Hooo.."
"Jangan cabut ye tiub ikut hidung ni lepas saya masukkan ni."
Terdiam kembali.
"Pakcik.."
"Dah pasang lama, tu yang pakcik cabut."
Jururawat yang tadi bersuara agak kuat, kelu seketika.
"Tiub ni memang kena pasang lama, nak masukkan makanan dalam badan pakcik. Pakcik janganlah buang ye. Nanti sakit kena pasang smula banyak kali. Boleh kan pakcik?"
Akak manis itu terus memujuk.
Ini kenangan ketika berpraktikal di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu. Saya yang sedang clerking patient's data di katil sebelah tiba-tiba sebak. Entah mengapa. Perasaan itu hadir tanpa saya pinta. Sebak terkenangkan arwah Atuk yang juga menghadapi saat-saat 'sebegitu' sebelum meninggalkan dunia sementara ini. Atuk meninggal tika saya bertungkus-lumus berperang di medan trial SPM. Tanpa sempat saya melihat raut wajahnya buat kali terakhir sebelum disemadikan. Raut wajah yang sentiasa memaparkan mata yang bening, yang sekali-kala celik daripada lenanya pabila saya berjaga malam tika berjuang untuk mendapatkan yang terbaik dalam PMR. Hanya tanah merah yang berbonggol mampu saya tatap setelah pulang dari asrama. Bukan sehari, tapi seminggu selepas pemergian Atuk.
Benarlah, 'penyakit orang tua' [nyanyuk] itu kadangkala mampu mengundang air mata si penjaga. Bayangkan, dia mampu mengingati perkara yang sudah berpuluh tahun dilakukannya, namun perkara yang baru dilalui beberapa minit lepas gagal untuk disimpan di dalam kotak memori.
"Labbaikallahummalabbaiikkk...."
Saya dapat menangkap dengan jelas tiap patah kata yang keluar daripada mulut Atuk yang sedang terbaring itu. Lantas wajah ini menoleh kepadanya.
"Chek duk keliling Kaabah, ramai sangat orang. Duk berebut-rebut, memang kena kuat kalau tak memang leper kena himpit dengan Pak Arab."
Saya panggil atok saya dengan panggilan Chek. Rancak sungguh dia bercerita saat-saat manis menjadi tetamu Allah. Yang menghairankan saya, Chek dah naik Haji lebih 20 tahun yang lepas. Subhanallah, betapa Agungnya Kuasa Sang Pencipta. Chek yang kadang-kadang tak mampu ingat yang dia baru je lepas makan nasi, boleh ingat perkara yang dah berpuluh tahun.
Saya hanya mampu senyum dengan kata-kata Chek. Juga dengan kelopak mata yang telah hampir banjir. Dan kini, kenangan itu menjengah lagi. Moga Chek aman di sana. Chek yang tak jemu mengajar saya mengaji setiap malam, Chek yang ketika saya kecil akan pujuk saya bila saya nangis teringatkan arwah ayah, Chek yang akan bawa saya sebagai teman ke bank untuk mengambil duit simpanan, dan Chek yang akan saya bawa ke klinik pabila penyakit gout nya menyerang. Itu semua kenangan zaman sekolah rendah hingga PMR. Sebab lepas PMR, saya masuk sekolah asrama kat Terengganu. Sebulan sekali je boleh balik. Dah tak boleh tengok Chek yang akan duduk di muka pintu menatap keindahan waktu petang setiap hari.
Saya dah tak ada atok dan nenek. Sekarang, saya sangat-sangat rindukan Chek. Sungguh.. -_- Terutamanya bila banyak terserempak dengan warga tua di PPUM ni. Macam mana lah kesudahan saya nanti kan. Adakah akan sama seperti Chek? Atau tak sempat nak menjengah fasa usianya? Semuanya dah termaktub dalam bukuNya. Semoga kita dikurniakan sebaik-baik pengakhiran hidup; Husnul Khatimah. Ameeeen ya Rabb..
2 comments:
kita pun rindu kat atuk =,(
alfatihah~
inshaALLAH..
Post a Comment