Terlalu banyak perkara mahu dikongsi. Suka, duka, teguh yang kekadang masih juga menghadirkan rebah, lalu bangkit semula dengan sisa-sisa yang tinggal, tawa yang sekali-sekala tanpa sedar melupakan insan yang sedang berduka lara, walau nestapa itu juga adalah teman setia. Itu semua adalah hidup. Laut, ada pasang surutnya. Siang pasti berganti dengan pasangan malamnya. Begitu juga dengan kehadiran, tidak dapat tidak akan diiringi dengan pemergian. Hanya yang membezakan, waktu itu sahaja. Cepat atau lambat.
Rindu untuk bercerita. Namun pabila terlalu banyak perkara untuk diungkapkan, lidah kelu untuk berkata-kata. Biasa kan kita alami? Sama seperti saya pada masa ini. Sebu hati. Ma pernah berkata pada saya:
"Ma perasan Allah bagi adik rezeki murah sangat. Rezeki untuk jumpa dengan orang yang baik-baik. Kawan yang baik, teman satu bilik yang baik, kawan sama kerja yang baik, ramai sangat orang baik Allah bagi kat sekeliling adik."
A'ah la. Ya. Sangat tepat! Saya mula sedar perkara itu pabila Ma melahirkan kata-kata yang sangat menyejukkan hati ini. Dia hanya mengambil semula kekasih hati saya yang bekerja keras itu, tapi Dia juga yang menggantikan ramai insan yang terlalu tulus budinya dalam hidup ini. Dan Jumaat lepas, seorang kakak yang sangat baik akan berhijrah ke tempat kerja yang lain. Kakak yang banyak mengajar saya tentang erti hidup itu takkan seindah yang diimpikan, apatah lagi alam kerjaya yang dihiasi dengan ragam pelbagai corak manusia. Tiada ruginya jika kita bersikap baik dengan semua orang. Sungguh indah nasihatnya, sesejuk mata melihat tuannya. Hari pertama berada di tempat baru, masih saya ingat kakak ini lah yang menawarkan diri untuk menghantar saya ke Stesen LRT menjelang waktu pulang. Hari pertama yang masih diiringi dengan perasaan bercampur-baur itu, sedikit-sebanyak ditenangkan dengan keramahan insan-insan di tempat kerja baru itu. Terima kasih bebanyak, Kakak! :)
Semoga sayangNya yang indah itu sentiasa menyelubungi hidup akak dunia dan akhirat :)
No comments:
Post a Comment