Thursday, June 7, 2012

Wednesday's Rain

Bismillahirrahmanirrahim.
Apa khabar iman? [bergetar hati pabila memikirkan jawapan sendiri]
Mudah-mudahan ada secebis dua usaha untuk menaikkan tarafnya. Suka saya untuk mencetuskan kesyukuran yang 'tidak dapat tidak' perlu disedari oleh makhluk yang bernama hamba. Takkan terhitung nikmat yang dikurniakan dan diberi tanpa diminta bayaran walau sesen cuma. Lantas, masih berat lagi kah lidah untuk meyebut lafaz hamdalah?

Usia itu nikmat. Rezeki itu nikmat. Kecantikan dan kepandaian itu nikmat. Dugaan itu juga nikmat. Hampir menjangkau setengah tahun usia buah hati saya ini, beliau telah mengalami kecederaan parah. Yang memerlukan penggantian organ dilakukan. Sungguh kasihan kan? -_-

Pagi Rabu. 30 Mei 2012 | 9 Rejab 1433H

Rabu setiap minggu adalah hari yang penting bagi kerjaya saya di UM. Hari bertemu para pesakit barah payudara yang akan menjalani pembedahan pada keesokan harinya. Jadi, sedaya upaya saya tidak akan mengambil cuti pada hari tersebut. Kalau setakat rasa tak sedap badan selesema sikit yang masih memampukan saya bangun, memang saya gagahkan jua diri. Setakat ni, Alhamdulillah kedatangan setiap Rabu saya masih penuh :) Hajat ingin ke tempat kerja menaiki pengangkutan awam, saya cuma berhenti di kereta untuk mengambil buku yang ditinggalkan. Dari jauh, mata saya menangkap imej yang pelik. Pabila didekati...







inilah imej pelik tersebut

Seketika, saya terpaku. Seperti patung. Masih gagal memproses apakah sebenarnya yang berlaku ke atas buah hati saya ini. Cuma satu yang bermain di fikiran saya. Ada batu yang terpercik ke dalam longkang dan terpelanting ke cermin itu. Orang yang saya mula-mula hubungi ialah Akak. Akak yang sudah berada di tempat kerja memberi respon sangat terkejut. Saya tak menghubungi Abang Mat. Kerana? Abang Mat kerja shif malam, pulang pastinya dia sedang tidur [takkan sedar kalau telefon pun. huuuu]. Tiada kata lain daripada Akak selain meminta saya kuatkan hati menyelesaikan segalanya dengan suara yang risau.

imej lebih dekat

imej yang lebih-lebih jelas

Kak Imah yang akan ke tempat kerja berhenti pabila saya berdiri tegak di situ. Lantas, saya meminta pertolongan Kak Imah untuk menghantar MMS kepada rakan sekerja [telefon saya ada masalah untuk proses penghantaran MMS]. Kak Wardah [ex-roomate di UIA merangkap rakan sekerja sekarang] yang masih di dalam perjalanan untuk ke tempat kerja terkejut dengan berita yang dikhabarkan. Dua pilihan yang saya ada; terus ke tempat kerja dan menyelesaikan masalah ini esok hari [bertemu pesakit untuk data collection sangat penting bagi saya] @ mengambil EL dan menyelesaikan segala perkara hari ini juga. 

Beberapa detik berlalu, spontan nombor bos saya dail. Nekad untuk menyelesaikan segalanya pada hari yang sama. Namun, tiada jawapan untuk panggilan. Tidak mengapa, saya akan mencuba semula selepas ini. Tindakan seterusnya, menelefon Soke Chee, rakan sepenyelidikan yang akan menyambung PhD tidak lama lagi. Meminta tolongnya mengambil ukuran berat dan peratusan lemak para pesakit. Jumaat nanti saya akan bertemu mereka di wad bagi menyerahkan Food Diary untuk diisi. Alhamdulillah Dia kurniakan rakan-rakan yang baik hati :))

Next step? 
Saya termenung di tepi jalan. Oh lupa pula nak maklumkan. Saya menumpang teduh [bayar sewa, bukan percuma] di rumah teres. Jadi, kerete saya parkirkan di tepi rumah sahaja [tepi jalan]. Tempat parkir dalam kawasan rumah penuh diisi oleh 3 buah kereta tuan rumah. Huuuu.. Lebih kurang 10 minit termenung, saya berjalan masuk ke dalam rumah. Walau apa jua tindakan yang mahu saya ambil, jarum panjang jam yang masih belum berada di angka 8 membataskan pergerakan saya. Alhamdulillah saya simpan nombor Protoncare dalam telefon bimbit ni. Meminta nombor telefon Pusat Servis Proton yang terdekat. Untuk urusan begini, tak boleh nak ke tempat servis yang diuruskan oleh dealer, kena pergi terus ke branch. Dari tempat saya, Pusat Servis yang terdekat ialah di Jalan Setapak. Berhampiran dengan Hospital Tawakal. Aduh, jalan yang sangat jem tu! Err, di KL ni ada ke jalan yang tak sesak dan padat pada pagi yang indah ni? Huuuu.. Sebagai insan yang jarang menempuh jem teruk untuk ke kerja setiap pagi [saya pengguna DUKE], saya tidak mahu menambahkan lagi kesesakan dengan keadaan kereta yang parah terluka itu. Maka tepatlah keputusan saya untuk masuk ke dalam rumah dan berehat-rehat dahulu [cuti kan].

Sarapan pagi belum diambil. Biasanya saya bersarapan di tempat kerja. Inilah masanya untuk menyediakan sarapan di rumah. Lantas membuka peti ais, saya lihat ada daun sup + daun bawang, dan juga ikan bilis. Tepung gandum pun masih ada, lebihan membuat kek coklat tempoh hari. Buat cekodok pun sedap juga ni, atau nama lainnya 'jepuk' sahaja :) Di luar rumah angin mula bertiup kencang. Nak hujan! Saya turun ke kereta membawa plastik dan beberapa helai kain untuk diletakkan di cermin dan tempat duduk, mengelakkan daripada basah lencun. Basah tu pasti, sebab hujan akan turun dengan lebat berdasarkan angin yang bertiup [payung yang saya bawa hampir terbang]. Tapi, sekurang-kurangnya tak ada lah sampai banjir kereta tu nanti. Kemudian, saya  masuk semula ke dalam rumah menyambung proses menggoreng dan bersarapan :) 

Sementara itu, telefon tak berhenti menerima mesej dan panggilan daripada rakan sekerja dan abang kakak. Saya memilih untuk tidak memberitahu Ma terlebih dahulu, tidak mahu Ma bimbang keseorangan di sana. InsyaAllah pabila segalanya sudah selesai, Ma akan saya hubungi. Daripada mesej dan panggilan yang masuk, ramai yang mencadangkan agar saya ke balai polis membuat laporan. Walau tidak ada barang yang hilang, sekurang-kurangnya pihak polis akan membuat rondaan dengan lebih kerap jika kejadian itu adalah cubaan untuk mencuri. Jujur, hadir rasa gerun untuk saya pergi ke balai polis berseorangan. Gerun untuk membawa kereta yang tercedera itu barangkali yang mewujudkan rasa 'takut' kepada polis. Huuuu. Namun, pabila rasa superwoman itu datang [eceh], saya rasa mampu lakukakannya. Chaiyok!

Jam sudah menganjak ke pukul 11.00 pagi pabila hujan berhenti. Tidak mahu berlengah, saya terus  bersiap untuk membawa buah hati menjalani proses rawatan. Mula bergerak ke balai polis Dato' Keramat, kemudian terus menghala ke Pusat Servis Proton di Jalan Setapak.


runtuh selepas hujan dan angin kuat



retak cermin dapat dilihat, hati yang retak? :p


sah.
Menurut kata Encik yang mengambil gambar untuk laporan polis ini, model Proton Saga yang baru ni sering menjadi sasaran pencuri untuk diambil--> set radio nya. Kata Encik itu lagi, hal ini disebabkan kemampuannya untuk mengesan frekuensi dengan mudah [lebih kurang senang nak dapat siaran la agaknya]. Terlopong saya mendengarnya. Macam tu rupanya. 

Berada di balai polis lebih kurang setengah jam [lama sebab tunggu Encik ambil gambar datang], saya terus menghala ke Jalan Tun Razak untuk ke Jalan Setapak. Alhamdulillah saya pernah lalu jalan ni masa zaman kerja di Prudential dulu, jadi tak ada lah sesat. Dekat saje :)


kaca mula berkecai sepanjang perjalanan


kereta yang bergerak perlahan


Sampai di Pusat Servis Proton, staf di sana terus melihat kecederaan buah hati saya. Katanya, berdasarkan kesan pecah, ada tanda-tanda yang menunjukkan ia diketuk. Kalau tak sebab cermin itu telah di'tinted',  kaca itu pasti telah berderai dengan teruk sejurus selepas diketuk. Kasihannya beliau. Mesti sakit kena ketuk tu -_- Moga insan yang buat kerja tu diberi hidayah untuk insaf [andai betul ada insan yang terlibat]. Buah hati terpaksa ditinggalkan sebab cermin kehabisan stok. Oleh yang demikian, saya pulang menaiki bas RapidKL dan LRT :)) Sekian, secebis kisah tentang buah hati saya.





Pengajaran:

1. Jangan panik. Sebolehnya, ambillah masa untuk bertenang sebelum lakukan keputusan. Dengan itu, kita akan memberi ruang untuk otak kita menghantar impuls dengan tenang :)) Kalau saya tidak berfikir panjang dan mendengar pendapat orang yang lebih berpengalaman, saya tak akan ke balai polis membuat laporan, terus sahaja ke Pusat Servis Proton. 

2. Simpanlah di dalam telefon nombor-nombor hotline yang berkenaan dalam hidup anda, terutamanya bagi yang tidak mempunyai telefon pintar seperti saya ini [kalau ada smartphone boleh cari di internet sahaja].

3. Jangan letakkan mind-set kalau ada kes kecemasan yang berlaku, mesti [wajib] orang lelaki diperlukan. Kita orang perempuan pun boleh uruskan. Dia kan ada untuk sumber kekuatan kita? :) Tapi kalau ada yang boleh memberi sokongan, itu lebih baik :)) 

4. Andai ada waktu senggang usai nikmat ujian menimpa, sujudlah padaNya. Dia sebaik-baik tempat mengadu :))


p/s: Where there is no struggle, there is no strength :)

4 comments:

Mohd. Ramadan Bin Ab.Hamid said...

Sabar ye... Dugaan tu bersifat sementara... Masih ada lagi dugaan lain yang lebih berat... :)

~candlesky~ said...

madan: sama seperti dunia. hanya sementara. di sana jua lah yang kekal selamanya :))

cikdietitian said...

kini..sabar itu syurga.. terinspired with ur tranquility. cool lah!

~candlesky~ said...

cikdietitian:

sabar itu syuuurga. like this words so much! ^^,