Thursday, December 6, 2012

Suku abad: Kehidupan baru :))

Salam penuh kerinduan buat semua yang menanti cerita kehidupan terbaru di sini. Wujudkah gerangan yang menanti? Ya, saya tahu ada yang menjadi 'pembaca senyap' sungguh setia ;)) *perasan* Maaf atas keberjayaan membiarkan blog ini sunyi. Setiap hari terlalu banyak yang ingin dikongsikan. Namun, apakan daya tidak semua keinginan hati akan dapat dipenuhi. Itulah lumrah, kan? Lumrah juga yang menjadikan keinginan hati itu tak pernah padam. Setiap hari ada saja keinginan baru yang timbul. Hingga kadangkala tersasar dari landasan syukur yang hakiki. Oh sungguh lemah hati seorang hamba ini. Lantas pabila minda mula sedar, perlu segera kembali ke tapak sebenar. Itulah rahmat, yang andainya tidak diendah, rugi lah yang akan kunjung tiba dalam hidup kita. Na'uzubillahi min zaalik.

Alhamulillah, alhamdulillah, alhamdulillah. 

"Maka, nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?" [Surah ar-Rahman]

Bermula mendapat makluman melalui panggilan telefon mengenai penempatan Pegawai Dietetik yang baru dilantik, sehingga ke detik ini, saya masih terlalu malu dengan nikmatNya yang sungguh tak ternilai bagi saya. Ya Rabbi, betapa Maha Pemurahnya Engkau -_- Tak pernah saya menduga, apa lagi mahu menyimpan angan-angan untuk mempunyai satu peluang mengisi jawatan berdekatan negeri kelahiran sendiri, lebih-lebih lagi pada usia muda-mudi ini. Berkesempatan melihat sawah dan bendang, lembu dan ayam sepanjang perjalanan pergi dan pulang dari tempat kerja. Tiada lagi kesesakan lalu-lintas, lalu jerebu diganti dengan kabus nyaman. Subhanallah, sungguh tak terungkap. 

Dan di antara semua nikmat yang dikecapi itu, satu nikmat yang paling tak terucap dengan kata-kata, nikmat dapat melihat wajah Ma yang tetap cantik walau dimamah usia itu setiap hari. Setiap hari mampu mencium tangan dan pipi Ma.. Ya Rahman.. -_- Saya pasti, tiada seorang insan bernama anak pun yang tidak mahu berkeinginan seperti ini, melihat wajah ibu mahupun ayah setiap hari. Namun, dek desakan hidup yang memerlukan kita berkhidmat di kota-kota besar mahupun jauh ke pelosok pedalaman menjadi penyebab yang sudah tentunya tidak memungkinkan untuk kita tetap berada di rumah tempat kita dibesarkan oleh mereka.

Sejak di Tingkatan 1, saya tinggal di asrama. Menjengah ke Tingkatan 4, menuntut ilmu ke Terengganu. Usai SPM, menyambung kembara ilmu ke Kuala Lumpur dan seterusnya ke bumi Kuantan. Melangkah pula ke alam pekerjaan, kembali berhijrah ke Kuala Lumpur. Seawal umur 13 tahun hingga mencecah ke umur 25 tahun, Ma sudah tidak berkesempatan bertemu saya setiap hari. Hanya kemajuan telekomunikasi yang membantu. Terima kasih saya ucapkan kepada Alexander Graham Bell. Heeee :D

Namun kini, setelah hampir 12 tahun berjauhan, yang jika pulang pun hanyalah pada musim-musim cuti, saya mampu berada di teratak di mana saya dibesarkan sejak pemergian Ayah. Rumah yang penuh dengan suka-duka seorang ibu tunggal yang sangat tabah terus berjalan tanpa henti walaupun lelah bertandang demi kehidupan anak-anaknya. Terima kasih Allah, kerana memberi saya peluang ini -_-

Ada yang bertanya,
"Kini guna kabel mana ni dapat dekat? Orang lain dapat jauh-jauh."

Saya hanya mampu menjawab dengan senyuman,
"Kabel paling besar yang tak ada tandingan," sambil tangan menunjuk ke atas sana. 

Ya, Dia lah yang menguruskan semuanya. Jujur, saya sudah mula menyiapkan mental untuk dihantar berkhidmat jauh kerana menyedari status 'belum berkahwin' ini. Ma juga sudah saya maklumkan awal-awal untuk bersedia menerima apa jua keputusan daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Ma seperti biasa sentiasa akur akan apa jua yang ditakdirkan buat anak-anaknya. 

Kata Ma pada saya (sesudah mendapat keputusan penempatan), 
"Ma tak henti tadah tangan siang malam mintak Allah bagi yang terbaik untuk Adik sepanjang tunggu keputusan tu."

Air mata saya bergenang. Saya tahu, bukan Ma sahaja yang sentiasa mendoakan yang terbaik buat saya. Ramai insan mulia yang sentiasa tidak lokek doa mereka. Terima kasih sangat. Allah kabulkan doa Ma dan doa kalian -_- Dia tahu kemampuan (kelelahan) saya yang sebenarnya amat tipis untuk hidup di bandar besar itu. Namun, dek kerana kehadiran Akak, Kakak dan insan-insan baik hati yang sentiasa di sekeliling hidup saya selama ini, saya terlupa akan 'kekurangmampuan' itu. Ia bukti betapa penting dan perlunya kita akan kehadiran teman-teman penguat semangat, kan? :)

Pada usia yang baru menjengah 25 tahun ini, akan saya manfaatkan untuk berbakti kepada Ma tersayang, Maksu dan juga Muiz. Walau saya pasti syukur ini tidak mampu membalas kemuliaanNya mengurniakan rezeki sebegini besar buat saya, namun saya harap sekurang-kurangnya saya mampu membuatkan ada insan-insan yang turut gembira dan terus tersenyum gagah meneruskan pengembaraan di dunia ini untuk kehidupan yang penuh bermakna di sana kelak.

Buat semua insan mulia yang mengingati saya pada hari kelahiran tahun ini, ketahuilah bahawa anda semua merupakan salah satu sebab saya mampu terus tersenyum :) Walau kadangkala ukhwah itu tak terzahir pada pandangan manusia, namun ketahuilah bahawa aura hati kalian yang tulus itu tak pernah tidak sampai ke hati ini. Moga hati kalian terus-menerus dialirkan dengan arus ketenangan.. :)) Buat Cha, suara nun jauh dari Glasgow semalam sungguh membahagiakan hati ini! ^^, Terima kasih sekali lagi buat Alexander Graham Bell dan saintis-saintis penciptaan telefon yang lain. Heeee

Penyudah coretan kali ini, moga kita sentiasa bersyukur dengan setiap apa yang dikuniakan buat kita. Kesyukuran yang hakiki itu sesungguhnya lebih payah daripada sebuah kesabaran. Jangan berhenti berlari  dalam mengejar impian :)


Salam sayang,
Sakini,
Hospital Besut.

2 comments:

Nadirah said...

Adik, T____T

Kita ada kabel besar kat atas sana, semua yang Dia tetapkan selalunya tak terjangkau dek akal yang sempit. Apa jua yang Dia pilih, moga menjadikan kita hamba yang bersyukur.

Doakan juga rezeki yang terbaik utk kakak ya!

Best regards,
*kakak berangan-angan nak berkhidmat di kampung halaman ^_^*

Cha. said...

Kiniey...

Moga Allah jaga.

Rindu.

Take care love.