Saturday, April 11, 2009

Mampukah sekuat dulu?? (bhgn 2)

Sebab ke-3… (dan yang paling penting bagi saya)

--> Saya ingin mensasarkan yang tertinggi untuk PMR. Ya, yang tertinggi. Saya mahu menggenggam 9A. Saya sememangnya benar-benar yakin. Saya nak tandingi rakan-rakan sekelas yang sememangnya tak dapat lagi dinafikan kehebatannya. Hati saya terlalu ingin menggapai impian itu. Terlalu ingin. Mungkin keinginan saya melampau-lampau sehingga saya mula melakukan perkara yang tak pernah saya lakukan sebelum itu… MENULIS DIARI. Sehingga kini DIARI itu masih saya simpan. Masih saya bawa ke bumi Kuantan ini untuk sebuah kekuatan. Hari pertama persekolahan, dan tentunya permulaan tahun 2002 pada tika itu, saya coretkan di muka pertama sebuah DIARI…

6 Jan 2002: “Hari ni mula sesi persekolahan 2002. Alhamdulillah, aku masih kekal dalam kelas Juara-3 Juara. Ahli kelas aku seramai 29 orang aje. Teringat masa Darjah 6. Hari ni tahun yang penting bagi aku. Aku nak buktikan yang murid/pelajar di Dato’ Ismail boleh berjaya lebih cemerlang drpd Sek. Kamil. Aku nak sembahyang hajat & baca Yaasin every night supaya diterangkan hati utk berjaya dengan cemerlang. Aku nak pecahkan rekod 9A SMKDI. Insyaallah, aku kena berusaha lebih sikit. Ramai yang naik kelas. Lagi-lagi budak laki. Shahrul, Hazwan, Zulhilmi, Ikhwan & Faiq. Hisss.. Tak boleh jadi ni. Aku nak kekalkan prestasi aku. Sekurang-kurangnya top ten/top five student.”

Inilah bait-bait kata dalam DIARI saya. Saya memang menyalin sebulat-bulatnya. Tak mengapa, sekadar perkongsian, tak salah rasanya kan. Saya amat berterima kasih kepada nama-nama yang tertera di atas. Yang menjadi booster untuk saya. Tapi, nama-nama yang paling penting untuk saya tandingi pada tika itu ialah:

· Zainizam (kini di UTM: Engineering)

· Asmalina (kini di UKM: Education in Chemistry)

· Wan Nabil (kini di UiTM: Civil Engineering)

· Izani (kini di UiTM: Education in Biology)

· Kak Nurul (kini di UKM: Education in Physics)

Terima kasih yang tidak terhingga buat insan-insan ini atas persaingan sengit buat saya. Namun, jika hendak dikira, kesemua rakan sekelas saya amat saya cemburui. Sentiasa bekerja kuat tak kira masa untuk terus study dan study. Untuk Bahasa Arab, saya sentiasa mencemburui Nabil. Anak murid kesayangan Ustazah. Pendek kata, cakap je nak tahu perkataan apa, mesti dia dapat terjemahkan ke Bahasa Arab. Dengan cermin matanya yang sesuai dengan identiti ‘budak genius’ sudah cukup untuk membuatkan saya rasa sentiasa tak senang duduk kalau tengok dia mula buka buku.

Kalau Nabil pakar Bahasa Arab, saya selalu memendam rasa melihat Izani yang sentiasa mendapat markah yang tinggi dalam subjek Sejarah. Macam mana lah agaknya dia boleh hafal cerita pejuang-pejuang sejarah dan pembukaan Tanah Melayu dengan terperincinya. Sedangkan saya masih terkulat-kulat menggali memori jika ditanya Cg Rokiah, dia dengan lancarnya memberikan jawapan.

Ama(panggilan buat Asmalina) dan Zainizam pula sangat hebat dalam menguasai subjek Bahasa Inggeris. Walau saya telah mencuba sedaya upaya untuk mempersembahkan esei yang terbaik dalam setiap kali ujian, markah saya masih tak dapat menandingi mereka. ‘Kena cuba banyakkan kuasai vocab baru dan hebat ni.’

Kerajinan Kak Nurul menyiapkan nota Geografi nya seawal mungkin sering membuatkan lidah saya kelu. Baru belajar Bab 2, dia sudah mampu menyiapkan nota sehingga Bab 4. Kak Nurul tinggal di asrama, maknanya masa study nya lebih fokus. Tidak ada TV sebagaimana saya yang tinggal di rumah. ’Aku dah tak boleh manjakan diri tengok TV lagi.’

Atas semangat melihat usaha keras insan-insan hebat inilah, saya bangun membina azam yang cukup tinggi. Ingin menjadi yang terbaik di kalangan yang terbaik. Kekurangan diri saya nafikan sebagai alasan untuk tidak mampu berjaya. Andai mereka punyai seorang bapa untuk menanggung segala keperluan mereka, saya tak pernah kurang dengan kekuatan ma yang sentiasa bekerja kuat untuk membesarkan saya dan akak.

Ingin saya buktikan di sini betapa kekuatan wajah seorang ibu yang semakin berkedut dimamah usia mampu mengatasi segala kepayahan dan kesusahan yang saya harungi. Walau terpaksa berhujan untuk ke sekolah, saya sanggup. Saya sanggup melangkah dengan gagah tanpa menoleh ke belakang. Tak akan saya sia-sia kan pengorbanannya… Inilah buktinya kekuatan seorang IBU yang menjalar di segenap salur darah saya. Menjadi azam yang cukup hebat.

3.30pagi:-

- Saya bangun dengan mata yang segar. Kekuatan tekad untuk bangun mengulangkaji pelajaran sebelum melelapkan mata pada malam hari mengusir segala rasa malas. Menuju ke bilik air, menyucikan diri. Lantas, saya melangkah dengan berhati-hati ke ruang tamu yang gelap. Di situ, sejadah saya hampar. Saya tidak menggunakan ruang berdekatan dengan meja belajar. Atuk saya terbaring sakit berdekatan dengan ruang itu(al-fatihah buat arwah atuk). Saya tidak ingin mengganggu tidurnya. Di atas sejadah, saya menangis semahu-mahunya. Ustazah saya selalu berpesan, “Awak nak apa skali pun, doa lah. Doa banyak-banyak. Doa sungguh-sungguh. Nangis seikhlas hati. Air mata kita ni, bila gugur ke bumi dalam doa tu, insyaAllah Dia takkan tolak apa hajat kita.” Kata-kata itu terngiang-ngiang di telinga saya. Saya terlalu menginginkan 9A itu. Tak terungkap. Kerna saya tahu hanya itu yang saya mampu lakukan untuk menggembirakan hati Ma. Ujian Allah yang memberikan akak sakit ketika itu, tambah menginsafkan saya dengan ketabahan Ma. Menguruskan ayah dan anak yang sakit dengan ketiadaan seorang suami di sisi, hanya Allah yang tahu hatinya. Maka dengan itu, tangan ini ditadah, merayu umpama seorang pengemis. Mengemis kasih-sayang Allah buat hambanya yang kerdil ini… “Kabulkan permintaan hambaMu ini, Ya Allah..”

- Kemudian, saya melangkah ke meja belajar. Ternyata atuk masih lagi lena. Alhamdulillah, saya tidak mengganggu tidurnya. Sebuah buku saya ambil. Membukanya dengan membaca doa penerang hati moga diberi bantuan dalam memahami segala ilmu. Sedang saya asyik menelaah, Ma datang menyapa. Saya benar-benar tidak sedar bila masanya Ma berada di belakang saya.

“Ma tidur lah.” Saya tahu, Ma kepenatan.

“Tak apa. Ma teman adik kat sini. Banyak ke kerja sekolah tu?”

Saya tersenyum. “Kerja sekolah dah siap dah. Ni adik tengah baca balik apa yang adik blajar masa Tingkatan Dua dulu.”

Ma memandang saya dengan wajah yang sayu. Kepala saya diusapnya.

“Adik belajar rajin-rajin ye. Patutlah ayah pesan suruh ma jaga adik elok-elok dulu.”

Saya dapat lihat Mata ma mula bergenang…

“Ma, sedap je rasa kalau ada orang buat kopi O. Kopi ma kan sedap…”

Saya tersengih. Cuba berusaha mengubah fokus agar Ma tidak menitiskan air mata. Dalam hati saya ketika itu, Allah saja yang tahu.

Ma terus tersenyum melangkah menuruni tangga ke dapur. Tika itu, saya cepat-cepat mengesat setitis air mata mata yang tak dapat saya tahan. Bimbang Ma dapat mengesannya.

‘Betapa Ma terlalu merindui ayah.. Adik tahu, Ma. Kuatkan hatimu, ibu. Demi anakmu ini… Akan kucuba membahagiakanmu…’

1 comment:

passerby said...

alhamdulillah...sejuk perut ma saudari..sukee!!