Tuesday, April 3, 2012

Tujuh tangkai

Memandu pagi ini, air mata saya bergenang. Mendengar celoteh di radio yang hanya sebentar saya dengarinya, namun memberi kesan yang bukan sedikit. Mungkin ketika saya beralih ke stesen radio itu, kisah yang diceritakan sudah di pertengahan, mungkin juga sudah hampir ke pengakhiran. Apa yang sempat saya dengari:
Seorang kontraktor ini sudah mengumpul wang yang sekian lamanya akan dijadikan persediaan andai kata masalah dalam perniagaan menjengah. Wang yang berjumlah RM19,000. Suatu petang tiba, hadirlah seorang AJK masjid yang mengadu tentang keadaan masjid yang amat naif dan memerlukan pembaikan serta-merta. Tambahan pula, Ramadhan sudah hampir akan bertandang. Jika tidak dibaiki secepat mungkin, dibimbangi sambutan bulan penuh keberkatan itu takkan mampu dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti di masjid itu. Maka, kontraktor itu bertanyakan AJK masjid tersebut, berapa banyakkah wang yang diperlukan untuk menampung perbelanjaan itu? Mendengarkan kos yang dikhabarkan, dia terdiam. RM19,000. Memang besar kos nya. Kontraktor itu mampu untuk menggelengkan kepala kepada AJK tersebut. Masakan tidak, bukankah tiada sesiapa yang tahu akan jumlah wang yang ada dalam simpanannya? Masih ramai orang lain yang mampu membantu selain bukan dirinya. Tetapi sebaliknya yang berlaku. Kontraktor itu tidak mampu untuk menafikan rasa tanggungjawabnya kepada rumah Allah itu. Lantas diberitakan yang dia akan menampung segala perbelanjaan itu. Semua wang yang dikumpulkan selama ini diberikan kepada AJK masjid tersebut. 
Selang beberapa bulan kemudian, kontraktor itu menangis dengan sepenuh hati. Ketika ini, apa yang terlintas di benak fikiran saya ialah--> perniagaannya pasti sedang mengalami masalah yang memerlukannya menggunakan wang simpanan tersebut.  Namun, andaian saya terpesong 360 darjah. Kontraktor itu berjaya mendapatkan tender yang bernilai---> RM 19 juta!

Subhanallah, Masya'Allah, Alhamdulillah!!! Ketika ini lah rasa sebak itu hadir. Janji Allah tentang ganjaran kepada orang yang bersedekah di jalanNya tidak perlu diragui lagi, sebagaimana ayatNya:

"Perumpamaan orang-orang yang membelanjakan harta mereka (bersedekah) pada jalan Allah laksana sebiji (benih) yang tumbuh menjadi tujuh tangkai, setiap tangkai ada seratus biji. Dan Allah akan melipatgandakan ganjaran-Nya kepada siapa yang disukai-Nya dan Tuhan itu Maha Luas pemberian-Nya dan Maha Mengetahui." 
(al Baqarah : 261)

Pengajaran yang tidak ternilai. Usah sayang dengan harta duniawi itu. Bersikap pemurahlah, itu adalah pelaburan paling besar. Pada saya, BOROS dan PEMURAH itu sangat berbeza. BERJIMAT dan KEDEKUT itu juga tidak sama. Kontraktor itu adalah seorang yang BERJIMAT tetapi PEMURAH. Jika tidak berjimat, masakan dia mampu mengumpul wang simpanannya yang diasingkan untuk kegunaan kecemasan berkaitan perniagaannya. RM19,000 itu bukanlah nilai yang sedikit. Maka, saya berazam untuk memantapkan nilai BERJIMAT dan PEMURAH dalam diri ini. Jom :)

p/s: Ini adalah kisah benar pada hemat saya berdasarkan cara penceritaan ustaz tersebut. Walau saya tidak tahu dan mungkin tidak akan berpeluang untuk tahu siapakah kontraktor itu, saya mendoakan moga dirinya sentiasa dalam kebahagiaan hakiki :)))

1 comment:

As said...

^_^
janji Allah, beb.