Wednesday, July 29, 2009

Mampukah sekuat dulu?? (akhir)

Sambungan MSD 1, MSD 2 dan MSD 3

"Cg Saiful Bahri dah balik!! Jom pegi pejabat!!" Jeritan Izani mematikan perbualan kami.

Hati mula gundah gelisah. Jantung semakin berdegup kencang. Langkah ini saya teruskan menuju ke pejabat sekolah. Bangunan baru yang menjadi arah tujuan kami. Semua mulut terkunci. Tiada apa yang mampu diucapkan waktu itu melainkan doa setulus hati padaNya.

'Berapalah yang aku dapat ni...'

Lantas saya terkenangkan raut wajah ma yang setia menemani saya saban hari.

'Aku tak sanggup melukai hatinya, Ya Allah..'

"Ada 4 orang dapat 9A!!!" Teriak satu suara. Entah siapa yang di hadapan tidak saya cam lagi suaranya.

Saya bersandar di balkoni. Sungguh!! Saya terlalu gementar...

'Aku terlalu ingin untuk menjadi salah seorang daripada mereka, Ya Allah..'


Sekilas saya toleh ke tepi, Cg Saiful datang menghampiri saya.

"Tahniah, Sakini."

"Saya dapat berapa, Cg?"

Hati saya mula berdegup dengan lebih kencang. Hampir pecah dada ini.

"9.."

"Cikgu, saya tak percaya.."

"Ya Allah, awak ni... Saya yang pergi PPD tadi. Saya yang tengok sendiri. Kalau awak tak percaya jugak, nanti awak tengok lepas ni."

Saya hanya memerhatikan barisan panjang yang sedang mengambil slip peperiksaan daripada Cg Rokiah... Terasa dunia ini berputar-putar.

"Betul ke ni, cikgu?"

"Betul.. Awak percaya la. Takkan saya nak tipu pulak. Hmmm... Ayah awak kerja apa, Sakini?"

Saya kelu seketika. Gagal mentafsir apa sebenarnya tujuan Cikgu Saiful bertanyakan soalan itu.

"Ayah saya dah lama tak ada. Mak saya berniaga kecik-kecik, cikgu."

"Nanti balik awak kirim salam dekat mak awak ye."

Saya hanya mengangguk. Kolam air mata saya sudah mula bertakung. Menunggu masa untuk pecah. Akhirnya.. Tapp... Menitis juga ia. Cepat-cepat saya sapu.

"Siapa lagi cikgu yang dapat 9A?"

"Asmalina, Zainizam dan Nabil. Alhamdulillah, tahun ni pecah jugak rekod 9A. Tanhiah!"

Saya melihat senyuman kepuasan di wajah Cikgu Saiful.

Dalam kehangatan suasana itu, ramai yang mengukirkan senyuman. Mungkin berpuas hati dengan jerih perih usaha yang dikerah selama ini. Alhamdulillah, saya turut menumpang kegembiraan mereka. Tiada guna jika saya seorang yang bergembira.

Ckin dapat 8A, Angah dapat 7A. Pikah dapat 5A. Alhamdulillah, semuanya cemerlang=)


'Terlalu malu diri ini padaMu, Ya Allah. Pengasihnya diriMu atas semua kurniaan ini..'


Pulang ke rumah, Maksu setia menunggu bersama Muiz yang masih baby.

"Pak Muda telefon tadi. Maksu cakap adik tak balik lagi."

"Oh, yeke? Nanti adik telefon balik."

Raut wajah Maksu menampakkan yang dia telah lama ternanti-nantikan kata-kata daripada saya.

"Macam mana?"

Saya menghulurkan slip keputusan dengan wajah yang masam kepada Maksu. Gimik la katakan.. Heeee.

"La... Semua A ni. Alhamdulillah. Tahniah dik. Pergi telefon Pak Muda dengan Ma cepat."

Tangisan ma dapat saya dengar di gagang telefon.

"Alhamdulillah dik. Ma mintak maaf.."

Saya terkejut. Saya yang sepatutnya mengucapkan kata-kata itu buat insan yang banyak berkorban buat diri ini.

"Ma tak banyak masa nak selalu duduk dengan adik..."

Sedu-sedan ma amat memilukan hati saya.

'Jangan begitu, ibu. Terlalu banyak pengorbanan dirimu untuk diri ini.'

Air mata saya menitis buat kesekian kalinya.

"Ma jangan cakap macam tu. Ma tak ada buat salah apa-apa pun. Adik yang patut mintak maaf dekat ma. Ma kirim salam dekat akak ye..."

Tangisan akak juga dapat saya dengari. Mungkin sebak mendengar perbualan kami. Alhamdulillah, akak semakin pulih.

"Sehari dua lagi, InsyaAllah Ma balik.Makteh, Abang Aziz, semua yang kat sini kirim salam tahniah kat adik."

Wajah ceria saya semakin bersinar. Terlalu rindu diri ini pada mereka. Pada saat insan lain mampu memeluk insan yang mereka sayangi dalam waktu yang amat bermakna ini, saya hanya mampu mengucapkannya di gagang telefon.

Usai mendail nombor Pak Muda dan bercakap dengannya, saya bertanyakan keputusan Abang Ngah.

"Dia tak balik lagi. Tapi dia dah telefon tadi. Alhmadulillah, dapat straight A's. Awak??"

Pak Muda memang suka membahasakan 'awak' pada saya=) Alhamdulillah, Abang Ngah dapat 8A. Tidak seperti saya yang mengambil Bahasa Arab, Abang Ngah yang berada di SMACH @ SM Sains Machang sejak Tingkatan 1 adalah insan yang menjadi sumber kekuatan untuk saya terus menandingi kehebatannya... Terima kasih, Abang Ngah!

"Dapat 9.."

"Alhamdulillah... Awak memang biso."


******************

Saya sering mengingati kenangan ini. Kenangan yang kadangkala membuatkan saya malu pada diri sendiri. Ada ketikanya saya tidak sekuat dulu dalam membuktikan kesungguhan nekad saya. Dan saya paling malu padaNya... Pencipta yang Maha Pengasih. Sungguh, saya teramat malu dengan KASIH SAYANG-Nya.. Terima kasih yang tidak terhingga padaMu, Ya Rabbi..

Moga kisah ini mampu menguatkan semangat yang lemah, memperteguh nekad yang semakin goyah dan menyedarkan jiwa yang semakin alpa... Bahawa kasih-sayang Allah itu tiada taranya. Dan pengorbanan insan yang membesarkan kita itu tiada golok-gantinya.

Terima kasih Ma... Yang tak pernah mengeluh dengan susah payah membesarkan diri ini..
Terima kasih, Ayah... Yang semangatmu sentiasa menemani diri untuk membunuh kelemahan..

Buat semua ibu ayah di dunia ini... Kalian amat tabah!!!


P/s: Biso = perkataan Kelantan yang bermaksud hebat=)

Tuesday, July 14, 2009

Aik..Mana cucu aku ni???

Pulang dari lapangan terbang Subuh tadi,(menghantar Cik Sanah naik flight ke KL), kami bertiga (Cik Wa, Cik Cha dan saya) mengisi masa perjalanan dengan membuka topik kisah sekolah rendah masing-masing. Apa yang saya sedar, Wa dan Cha ketawa terbahak-bahak mendengar cerita saya. malah, si empunya cerita sendiri pun tak mampu menahan gelak. Huuuu... Begini ceritanya..

Saya ni sejak hari pertama masuk sekolah, sampailah hari terakhir bersekolah di SK Taman Selasih, memang dihantar dan diambil dengan kereta oleh ayah. Tiap-tiap hari. Memang sabar betul ayah, kan. Padahal ada je bas sekolah yang lalu depan rumah saya. Mungkin ayah nak tengok sendiri anak dia msuk pagar sekolah dan keluar dengan selamat. Atau mungkin jugak saya sendiri yang enggan naik bas sekolah. Tapi, seingat saya, tak pernah saya bangkang kata-kata ayah kalau melibatkan sekolah. Heeeee.

Jadi, pabila kembalinya ayah dijemput menghadap Yang Esa, kami pun berpindahlah ke rumah Chek (panggilan untuk atuk). Chek memang nak sangat Ma balik kampung bawak anak-anak tinggal serumah dengannya. Maka, kami pun berpindahlah ke sana. Dan sudah semestinya saya dan akak terpaksa berpindah sekolah. Dipendekkan cerita, Ma saya memang tak pandai memandu. Motosikal pun tak pandai, apatah lagi kereta. Masa tu, kereta arwah ayah pun dah dijual. Akak pergi sekolah dengan menumpang jiran yang menaiki motosikal. Saya ni pulak hanya pandai naik basikal BMX yang ada roda kecik kat belakang. Pendek kata, saya memang tak pandai naik basikal lagi waktu itu. Yelah, masa kat Gombak, manalah kami diberi pas untuk keluar meronda-ronda di luar rumah. Naik basikal pun dalam rumah je. Kesian kan?? Huuuu. Jadi, saya yang tak pandai naik basikal ni terpaksalah dihantar ke sekolah dengan menaiki motor. Siapa yang jadi tukang hantarnya? Tak lain dan tak bukan, Chek la... Masa tu, rasa seronok sangat. Yela, dapat naik motosikal. Selama saya bersekolah, mana pernah dapat naik kenderaan yang ada 'penghawa dingin semulajadi' tu. Jarak sekolah saya lebih kurang 3km. Jauh jugak la kalau jalan kaki kan??

Hari pertama, Chek pun hidupkan enjin motor tu.

"Cepat, dik!"

Saya pun tergopoh-gapah la berlari turun tangga rumah. Tangan Ma saya salami.

"Peluk pinggang Chek tu erat-erat tau."

Pesan Ma. Risau benar. Yelah, mana pernah anaknya sorang ni naik motosikal. Saya pun naiklah dengan penuh hati-hati.

'Bismillahirrahmanirrahhim.... Janganlah aku jatuh nanti.' Bisik saya dalam hati.

Sekolah saya pada waktu itu betul-betul kat tepi jalan raya. Sebelum sampai ke sekolah, kami terpaksa keluar dari simpang. Yela kan, kampung... Nak dijadikan cerita, masa nak melintas jalan raya keluar dari simpang tersebut, Chek pun berhentikanlah motorsikal yang kami naiki . Memang lah kena berhenti kan, kalau tak macam mana nak lintas jalan. Memang dah undang-undang jalan raya kena berhenti di persimpangan. Mana boleh main redah je kan? Simpang ni pulak dekat je dengan sekolah. Kiranya, dari simpang saya dah dapat tengok sekolah tu. Kebetulan, pagi tu jalan raya sibuk sangat. Jadi, lama lah Chek berhenti kat selekoh tu. Dalam hati saya dah terdetik...

'Kenapa Chek berhenti lama sangat ni? Agaknya dia hantar sampai sini je kot.'

Lalu, dengan naif nya saya pun turun dari motor. Kebetulan, masa tu jugak lah jalan raya lengang dan Chek melintas untuk ke seberang. Chek terus pulas minyak tanpa toleh ke belakang. Bayangkan macam mana saya terkulat-kulat tercengang melihat Chek berlalu.

"Chek!!!" Teriak saya.

Masakan Chek boleh dengar jeritan saya yang dah jauh ke belakang kan? Saya terus melintas. Kalau bab lintas jalan, saya memang dah pro sebab masa kat KL slalu jalan sibuk kan.. Dan Chek saya pulak, sesampainya di depan pagar sekolah... Punyela terkejut! Yelah, cucu yang diboncengnya dah hilang!! Saya yang kat belakang berlari-lari supaya cepat sampai. Tak sanggup saya lihat Chek yang dah dimamah usia tu pucat menahan debar di dada.

"Ada nampak cucu Pok Teh tak??" Tanya Chek pada sorang budak yang baru sampai.

"Tu.." Jari telunjuknya dihalakan pada saya yang termengah-mengah berlari menuju ke arah Chek.

Chek apa lagi.. Mengurut dada menahan lega.

"Kenapa turun cepat sgt?"

"Adik ingatkan Chek nak brenti tempat tadi je. Adik pun turun la. Adik panggil Chek, Chek tak dengar."

Chek hanya tersenyum. Namun, masih tergambar raut cemas di wajahnya.

Usai mengucup tangan Chek, saya pun masuk ke dalam pagar sekolah...=) Sungguh manis kenangan dengan arwah Chek. Insan yang meninggalkan saya saat diri ini sedang bergelut dengan Percubaan SPM di SESTER. Ketika itu, kertas Matematik Tambahan. Dan saya tak dapat mengucup dahi Chek buat kali terakhir. Tapi, saya redha. Doa dari seorang cucu insyaAllah akan dapat dijadikan bekalan buatnya. Insan yang memberi kasih sayang seorang ayah sehinggalah dirinya meninggalkan alam sementara ini... Al-Fatihah buat arwah Chek, Salleh bin Wachik..


~Pengajaran yang terselit:
1. Buat golongan Hawa, marilah kita sama-sama belajar memandu dan mendapatkan lesen... Huuu.. Bukan apa, agak susah kalau wanita tak tahu memandu. Berdikari tu penting kan? Macam Ma saya, dia pernah belajar memandu dulu. Tapi, sebab fobia bila satu ketika melihat dengan mata sendiri kemalangan maut, dia terus berhenti.

2. Bertanya sebelum membuat sesuatu perkara. Betul ke salah?? Macam saya tadi, suka-suki main turun je dari motor tu. Kalau ye pun confuse, tanya la dulu Chek tu kan? Heeee


*Kalau ada yang perasan, nama arwah ayah sama dengan arwah Chek.. SALLEH..=) Cuma bin yang lain. Ayah=Salleh bin Awang dan Chek=Salleh bin Wachik... heeee.. Unik kan??

Saturday, July 11, 2009

Berguru kepalang ajar...

CERITA 1:
"Awak semua ni tak hargai langsung! Saya tak sihat pun datang mengajar, sayangkan anak murid saya. Tapi, awak boleh tidur!!??"

Saya tergamam. Ustaz tak pernah segarang itu. Dapat saya lihat dia seakan menahan-nahan amarahnya yang tersimpan. Saya mula sebak. Saya bukan boleh lalui situasi macam ni. Tangan saya mula sejuk. Saya cuba tahan degupan jantung ini agar tidak terlalu pantas. Nanti pecah air mata saya jika tidak dikawal. Mata ini hanya mampu mengekori gerak langkah ustaz yang sudah keluar dari kelas.

Mata ini saya halakan ke belakang. Ke arah pelajar lelaki. Saya tahu, ada yang tidur. Dan saya sememangnya nampak siapa yang terlelap tadi. Hairan... Macam mana dengan keasyikan cerita ustaz yang menceritakan kisah orang Arab yang tak kurang hebatnya menghiburkan diri mampu membuai mereka??? Saya benar-benar geram! Dan saya memang sangat sakit hati memikirkan perbuatan mereka. Bagi saya, keberkatan ilmu seorang guru itu adalah segalanya. Tak guna menjadi seorang insan yang bijak kalau tak mampu menghayati apa erti pengorbanan insan yang memberi ilmu....

Natijahnya, saya dan beberapa orang rakan yang lain ke bilik guru memujuk Ustaz. Ustaz hanya tersenyum menyambut kami. Yela, bukan kami yang buat salah. Lepas memujuk ustaz dengan kata-kata maaf bercampur bunga-bunga berserta daun-daunnya sekali, kami pulang ke kelas dengan hati yang lega.

"Awak semua masuk lah kelas dulu. Esok saya masuk."

Kata-kata ustaz itu umpama membuang batu yang amat berat daripada dada ini. Alhamdulillah sangat... Keesokannya, ustaz masuk ke kelas seperti biasa. Dan kini, ustaz telah selamat bersemadi menemui Pencipta nya. Dia pergi seperti yang sering diimpikannya Pulang dari mengerjakan Umrah di bulan Ramadhan. Tak dapat nak digambarkan perasaan ini tatkala rakan-rakan saya yang menyaksikan jenazahnya bercerita tentang wajahnya yang dihiasi dengan senyuman. Moga Allah tempatkan ustaz di kalangan mereka yang beriman. Ameeen.. Al-Fatihah buat arwah Ustaz Mat Hassan yang banyak berjasa...

**********

CERITA 2:
"Kalau kita tengok balik, Tun Hussein Onn merajuk 2 kali dengan UMNO..."

Asyik saya mendengar cerita Cg Rokiah. Waktu itu, cuti pertengahan tahun Tingkatan 4. Saya beria mahu mengikuti kelas tambahan di sekolah yang pernah berjasa kepada saya. SMK Dato' Ismail. Terlalu rindu rasanya untuk menatap wajah-wajah insan yang berusaha keras memastikan kami berjaya. Cg Rokiah adalah cikgu yang sama untuk matapelajaran Sejarah tika saya berhempas pulas memerah usaha untuk berperang di medan PMR.

"Macam ni jela saya mengajar, Sakini. Tak de lah sehebat cikgu-cikgu kat sekolah sains tu."

Nada suara Cg Rokiah yang cukup merendah diri itu cukup memilukan hati saya.

"Tak de lah, cikgu. Taka ada bezanya cikgu. Sama macam kat sini jugak."

Hati saya bagai dihiris-hiris rasanya. Saat itu, ingin saya pulang saja ke sekolah lama itu. Jika difikir-fikirkan kembali, guru-guru di sekolah lama lah yang berusaha keras membanting keringat agar anak-anak didiknya mampu berdiri megah di tempat yang lebih tinggi. Sememangnya setiap tahun terlalu ramai pelajar SMKDI ini yang mampu ke SBP dan MRSM. Semuanya takkan mampu dicapai jika seorang insan bergelar guru itu hanya berdiam diri memeluk tubuh dan bergoyang kaki di dalam bilik guru. Kelas tambahan waktu petang, hari minggu, kelas malam.... Banyak masa hanya dikorbankan buat anak didiknya.

Saat saya menerima surat tawaran untuk ke SM Sains K.Trganu (SESTER), masih segar di ingatan ini kata-kata guru kaunseling sekolah saya, Cg Yasmin.

"Sebagai seorang cikgu, saya berat hati nak lepaskan awak. Tapi, sebagai seorang ayah, pastinya saya nakkan yang terbaik untuk anak saya. Pergilah, Sakini. Jangan lepaskan peluang ni."

Berat hati saya untuk tinggalkan semua kenangan di sana. 3 tahun saya diasuh dan dicorakkan untuk menjadi insan yang berilmu, beramal dan berbudi. Sekolah itulah yang mula mencorakkan saya sebagai seorang pembahas. Jika tidak, masakan saya mampu meneruskan perjuangan itu di SESTER. Terlalu banyak kenangan di sana. Hingga hari ini, andai berkesempatan saya pasti akan jejakkan kaki ke sana.
Berburu ke padang dasar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepalang ajar
Bagai bunga kembang tak jadi

Budimu guru takkan mampu kubalas hingga ke akhir hayat....